JENGKA, 19 Jun 2023 – Pada 9 dan 10 Jun 2023 yang lalu, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kompleks Tok Gajah (KTG) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Entertainment of Muslim Art Club (EAC) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Mat Kilau (KMK) telah mengadakan program bersama anak-anak yatim Rumah Tunas Harapan (RTH) Semai Bakti, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. Program yang dijalankan selama 2 hari 1 malam ini bertujuan untuk mencapai SDG 11, pendedahan tentang dunia Universiti kepada masyarakat luar terutama anak-anak yatim RTH tentang pembelajaran dan persekitaran di menara gading. Selain itu, ia juga dilihat dapat memberikan ilmu pengetahuan serta pengalaman yang baru kepada anak-anak RTH seterusnya mencapai PI039 dalam meningkatkan kesejahteraan hidup dan tahap kesihatan mental yang baik. Program ini juga memberikan penekanan dari segi kemasyarakatan dan kesukarelawanan, di mana memberi peluang kepada mahasiswa UiTM untuk menjalinkan hubungan dengan masyarakat luar yang menepati nilai-nilai iDART.
Program yang berkonsepkan lawatan sambil belajar telah melibatkan lawatan di beberapa tempat di sekitar kawasan UiTM Pahang seperti Masjid Uwais Al-Qarni, Perpustakaan Al-Bukhari, Unit Sukan, Unit Ladang, serta kolej kediaman Kompleks Tok Gajah dan Kolej Mat Kilau. Berbagai aktiviti ilmiah dan bermanfaat dijalankan di setiap tempat seperti “explorace”, taklimat mengenai hala tuju para anak-anak RTH serta kegiatan berunsurkan “team building” dan motivasi. Seramai 16 orang anak-anak yatim terlibat bersama 2 orang pengiring. Manakala, 31 orang mahasiswa terdiri daripada 16 orang Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tok Gajah, 5 orang Jawatankuasa Perwakilan Kolej Mat Kilau dan 10 orang ahli Entertainment of Muslim Art Club. Mahasiswa yang terlibat menjadi fasilitator kepada anak-anak yatim justeru meningkatkan kemahiran insaniah dalam memberi tunjuk ajar kepada mereka.
Diharap dengan berlangsungnya program ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dapat melahirkan mahasiswa yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan. Penglibatan mahasiswa turut memberi impak positif bukan sahaja pada diri pelajar malah kepada UiTM khususnya.