Kajian Kemungkinan Bagi Projek Pembinaan

Kajian kemungkinan merupakan satu proses yang sangat penting sebelum sesuatu projek dapat dilaksanakan. Kajian kemungkinan boleh didefinisikan sebagai satu kajian ke atas sumber-sumber yang diperlukan didalam projek pembinaan dari segi kewangan, fizikal dan manusia bagi menjamin pengunaan sumber secara optimum mengikut kriteria khusus yang telah ditetapkan; iaitu projek perlu disiapkan dalam masa yang telah ditentukan, dalam linkungan kos yang tertentu dan mencapai tahap kualiti mengikut spesifikasi.

Bagi mendapatkan penjelasan dengan lebih terperinci berkenaan dengan kajian kemungkinan untuk projek pembinaan dan selaras dengan silibus kursus BQS606 (Construction Economics III) dan BQS612 (Applied Studies I), Pusat Pengajian Ukur Bahan (PPUB), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) Shah Alam telah menjemput Sr Khairani Ahmad yang merupakan seorang Juru Ukur Bahan Berdaftar dan juga mantan pensyarah di PPUB untuk berkongsi ilmu berkenaan topik tersebut. Webinar ini telah dibuat secara atas talian menerusi applikasi Webex.

Menurut penceramah Webinar ini, kajian kemungkinan dibuat pada peringkat awal projek terutamanya bagi projek yang berskala besar dan melibatkan kewangan yang banyak. Ianya juga bertujuan untuk mengurangkan sebarang keraguan atau permasalahan berkaitan dengan projek yang dicadangkan. Dan sekiranya, projek tersebut memerlukan penilaian dampak alam sekitar, ianya perlu dimasukkan juga didalam kajian kemungkinan. Tambahan beliau, antara kepentingan kajian kemungkinan ialah; mengoptimakan pulangan, mengenal pasti kebolehpasaran projek dari segi tahap pemintaan dan penawaran, menentukan kos-kos yang terlibat, menilai setiap risiko yang berkaitan, menitik berat kesan projek kepada alam sekitar dan memastikan faedah sosial yang dapat diberikan kepada masyarakat setempat. Beliau turut menegaskan bahawa perkara utama yang perlu dititik beratkan sewaktu penyediaan kajian kemungkinan adalah mendapat makluman lengkap dan jelas berkenaan kehendak klien untuk projek tersebut, data kos yang mencukupi serta pengalaman mereka yang menyediakan kajian kemungkinan.

Antara kos yang terlibat sewaktu penyediaan kajian kemungkinan bagi projek pembinaan adalah seperti kos-kos tanah, kerja-kerja awalan, kerja cerucuk, bangunan, elektik dan mekanikal, kerja lanskap, kerja luaran dan juga kos-kos lain yang berkaitan seperti yang perlu diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan seperti majlis bandaran, syarikat pembekal air negeri, syarikat sisa air dan sanitasi dan lain-lain. Setiap kos adalah berbeza bergantung kepada jenis bangunan, lokasi, spesifikasi dan juga cara perolehan projek. Setiap satu perlu diberikan perhatian dan penekanan yang serius kerana ini memberi impak yang besar terhadap daya maju projek yang dicadangkan.

Langkah akhir yang perlu dibuat dalam penyediaan kajian kemungkinan adalah untuk menentukan pulangan pelaburan yang dapat diperolehi selepas projek disiapkan. Sr Khairani menjelaskan peratusan diantara 20-30 adalah merupakan pulangan pelaburan yang boleh dikata berdaya maju. Beliau juga turut menegaskan keseimbangan diantara kos dan kualiti dalam sesuatu projek yang mencerminkan nilai wang klien secara keseluruhan.