Kajian Islam Nusantara – Kembara Borneo ke Andalusia

Kajian Islam Nusantara - Kembara Borneo ke Andalusia

Kota Samarahan, 12 Disember 2019 – Rombongan pengkaji daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berkesempatan untuk mengadakan lawatan kajian ke Sepanyol dalam usaha untuk merungkai sejarah kedatangan dan perkembangan Islam di Borneo amnya dan di Sarawak khasnya. Kajian ini merupakan cetusan idea daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang merupakan penyumbang dana kepada keseluruhan projek Kajian Islam Nusantara ini.

Lawatan kajian bermula dari 6 hingga 18 Disember 2019 ini diketuai oleh Prof. Dato Dr. Jamil Hj. Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak dan turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Firdaus Abdullah, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Ustazah Hajah Sharifah Anom Omar, Dr. Abdul Razak Abdul Kadir, Dr. Saimi Bujang, Dr. Hadenan Towpek serta Dr. Mohd Syahiran Abdul Latif.

Rombongan kajian ini akan mengadakan lawatan ke National Historical Archives of Spain di Madrid, The Halal Institute of Spain di Cordoba, University of Granada di Granada dan Archivo de Indias di Seville.

Lawatan Kajian Wali Songo ke Sepanyol ini merupakan kajian susulan untuk melihat serta mengkaji manuskrip asal, peta-peta lama dan salinan asal salasilah yang terdapat di muzium, arkib dan perpustakaan di Sepanyol. Matlamat utama kajian ini adalah untuk mengesah serta mengukuhkan lagi bukti penemuan sedia ada terutamanya berkaitan dengan kedatangan dan perkembangan Islam di Borneo amnya dan di Sarawak, khasnya.

Kajian Islam Nusantara - Kembara Borneo ke Andalusia

Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk membincangkan jalinan kerjasama antara UiTM Cawangan Sarawak dengan Universiti Granada di Granada dan Institut Halal Sepanyol di Cordoba. Dalam pada itu, lawatan ini juga dijangka akan melancarkan dua buah buku baru berjudul 1) Islam di Nusantara: Pemerintahan, Ekonomi dan Pendidikan, dan 2) The History & Development of Wali Songo. Buku-buku tersebut merupakan hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan sebelum ini.

Lawatan kumpulan kajian yang ditaja oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah melawat ke National Historical Archives of Spain di Bandaraya Madrid  dan berjaya membuahkan hasil apabila dihidangkan dengan manuskrip, dokumen dan peta-peta lama berkaitan dengan Nusantara amnya dan Borneo khasnya.

Kebanyakan manuskrip, dokumen, dan peta-peta lama tersebut berusia dari abad ke-8 hingga abad ke-19 Masihi. Manuskrip dan peta tersebut diperolehi hasil daripada peluasan kekuasaan oleh kerjasama antara Kerajaan Sepanyol dan Portugal di Nusantara. Penemuan ini membawa kepada nilai tambah kepada sejarah Borneo dan Sarawak selain daripada sumber British dan Belanda.

Kumpulan kajian tersebut disambut dengan mesra oleh Puan Ana María Lopez dan En. José Luis Clares serta dihidangkan dengan taklimat ringkas berkenaan dengan National Historical Archives. Hasil daripada perbincangan tersebut, kumpulan penyelidik diberi kemudahan untuk akses kesemua dokumen atau manuskrip yang terdapat di arkib negara Sepanyol. Selain itu, pihak National Historical Archives of Spain turut menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan UiTM Cawangan Sarawak dalam pelbagai bidang.

0
0