TAWAU, 12 MAC 2022 – UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau telah mengadakan Program ‘Ka-C Ja-D Ba’ siri kedua pada 11 Mac 2022, jam 9 pagi. Dalam ‘Ka-C Ja-D Ba’ Siri 2 kali ini, Encik Fatahuddin Mohd Amin sebagai penceramah telah memilih tajuk ‘Papan Agihan Pengguna’. Sesi perkongsian ilmu dimulakan dengan mengenali komponen-komponen utama di dalam papan agihan pengguna yang digunakan di pejabat atau rumah.
Papan Agihan Pengguna digunakan untuk menempatkan peranti perlindungan dan keselamatan litar elektrik. Terdapat beberapa jenis peranti perlindungan di dalam Papan Agihan Pengguna, iaitu Molded Case Circuit Breaker (MCCB), Residual Current Circuit Breaker (RCCB) dan Miniature Circuit Breaker (MCB).
MCCB berfungsi untuk mengawal tenaga elektrik dalam sistem agihan elektrik dan akan memutuskan litar sekiranya berlaku litar pintas atau overload. MCCB dipasang pada permulaan litar pendawaian untuk melindungi pengguna dari renjatan elektrik.
Seterusnya, RCCB atau RCB digunakan untuk mengesan keseimbangan arus elektrik semasa pada wayar. Jika seseorang bersentuhan secara terus dengan wayar hidup yang terbuka, maka akan berlaku aliran arus ke bumi yang boleh menyebabkan risiko kehilangan nyawa. Jadi, RCCB ini dapat memutuskan litar dengan segera demi keselamatan.
Manakala, MCB berfungsi untuk melindungi atau memutuskan sesuatu litar apabila terjadi litar pintas. Sebagai contoh, apabila kipas rosak, litar akan terputus secara automatik.
Semasa sesi perkongsian, Encik Fatahuddin turut menunjukkan demonstrasi ‘Cutout Distribution Board’, penentuan Ampere (A) dan uji lari elektrik menggunakan alat ‘Digital Clamp Voltage Tester’. Selain itu, beliau berkongsi berkenaan pengiraan kadar tarif elektrik dan memberi penjelasan mengenai Akta Bekalan Elektrik 1990.
Lebih penting lagi, beliau menegaskan masih ramai pengguna yang kurang berpengetahuan mengenai keselamatan elektrik telah menggunakan MCCB untuk alat pemanas air di rumah. Berbeza dengan Peraturan Keselamatan Elektrik, Jabatan Suruhanjaya Tenaga, mengesyorkan memasang RCCB dengan kepekaan arus bocor 10 miliampere (mA) dalam litar peralatan pemanas air. Dengan pengetahuan seperti ini, diharapkan para peserta akan lebih cakna dan menggunakan alat perlindungan untuk litar elektrik yang betul.
Untuk rekod, ‘Ka-C Ja-D Ba’ merupakan program perkongsian ilmu bersiri di kalangan staf pentadbiran UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau yang dirancang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2022.