Jualan Bun Kasih Sayang KOSISWA UiTM Cawangan Pahang

Sempena penganjuran FOA Market Place oleh Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang pada 10 November 2022, Koperasi Siswa UiTM Pahang Berhad (KOSISWA UiTM Pahang) tidak melepaskan peluang untuk membuka reruai jualan roti homemade mereka, Bun Kasih Sayang. Berkonsepkan roti yang sedap, dengan harga yang mampu milik, Bun Kasih Sayang ini sentiasa mendapat tempat di hati warga kampus.

Objektif utama penyertaan dalam program ini tidak lain untuk memberi pendedahan kepada ahli KOSISWA UiTM Pahang dengan aktiviti keusahawanan, selain dapat menjana pendapatan sampingan. Sebanyak lima jenis roti homemade yang dijual iaitu Cheezy Stick, Chocorice Bun, Hwarang Bun, Garlic Cheese Bun dan Coffee Bun. Penjualan produk ini juga adalah salah satu inisiatif untuk membantu usahawan tempatan yang berniaga secara kecil-kecilan yang mana roti-roti ini ditempah dari mereka.

Keseronokan jelas terpancar di wajah petugas-petugas iaitu Saudari Balqis dan Saudari Fitri yang merupakan ahli KOSISWA UiTM Pahang yang aktif dalam membantu meningkatkan penjanaan pendapatan. Walaupun keletihan seharian bertugas, pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi adalah sangat berharga dan bermakna untuk masa hadapan dalam meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam diri masing-masing.