Puncak Alam – Program Jualan Amal Gelandangan telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2020, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk melahirkan individu dan masyarakat yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Program ini telah berlangsung selama 7 minggu bermula dari 12 Oktober sehingga 30 Disember 2020 dan jualan ini dijalankan menerusi media sosial. Program ini terbuka kepada semua mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan (FSK) yang berminat untuk memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Program ini mula dilaksanakan pada sesi 2019 dengan aktiviti pengumpulan barangan yang masih boleh digunapakai berpusat di Kolej Kediaman Dahlia dan Angsana. Antara barangan yang telah berjaya dikumpul ialah pakaian, buku-buku, beg serta kasut yang masih berada dalam keadaan yang baik.
Pada awal sesi 2020, program ini diteruskan lagi dengan aktiviti jualan barangan ‘preloved’ hasil daripada kutipan pada sesi 2019. Jualan tersebut dijalankan menerusi media sosial seperti Instagram dan Telegram. Secara rasminya, akaun Instagram ‘csr.thriff’, telah dibuka bagi memudahkan pelanggan untuk memilih barangan yang dimuat naik oleh biro pemasaran.
Hasil daripada tinjauan maklum balas, para pembeli telah memberi komen yang positif dan berpuas hati dengan jualan tersebut. Sokongan dan dorongan daripada para pembeli juga telah memberi inspirasi serta semangat sepanjang perlaksanaan program ini.
Pada akhir program ini, jelas dilihat aktiviti sebegini dapat memberi impak kepada mahasiswa. Sehubungan dengan itu, semangat keusahawanan juga berjaya dipupuk untuk melahirkan mahasiswa yang lebih kreatif, beridealisme dan proaktif untuk mengatur langkah dalam bidang keusahawanan . Selain itu, program ini juga dapat melahirkan mahasiswa yang lebih prihatin dan cakna akan keadaan sekeliling terutamanya kepada golongan yang kurang bernasib baik. Tambahan pula, program yang berlandaskan kerjasama seperti ini mampu mengeratkan lagi silaturahim antara pihak universiti dan juga organisasi-organisasi luar.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberi banyak impak bukan hanya kepada mahasiswa, malah kepada universiti dan komuniti. Program seperti ini sangat digalakkan untuk diteruskan agar dapat melahirkan modal insan yang lebih prihatin dengan keadaan sekeliling.