Dalam menyantuni komuniti setempat dan pelajar kampus, Pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), dengan kerjasama Kelab D’Hoteliers FPHP, Unit ICAN, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun telah bersama-sama menganjurkan program “Jom Free Market 6”. Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Jom Free Market (JFM) yang telah dianjurkan sebanyak 5 kali sebelum pandemik COVID-19.
Program yang berlangsung pada 25 April 2024 (Khamis), merupakan sebahagian daripada inisiatif University Community Responsibility (USR) UiTM yang bertujuan menyokong matlamat Pembangunan Mampan Negara (SDG) dengan menawarkan khidmat masyarakat komuniti setempat. Selain untuk mendidik masyarakat memupuk sikap suka memberi dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan.
Jom Free Market 6.0 (JFM 6.0) adalah sama seperti konsep pasar lambak yang mamaparkan barangan terpakai atau baharu, makanan dan minuman serta servis. Bezanya JFM ini tidak melibatkan sebarang transaksi wang/duit untuk setiap barangan atau servis yang ditawarkan. Matawang pada hari tersebut hanyalah budaya sopan santun. Budaya sopan santun sangat dititik beratkan semasa program ini berlangsung seperti tidak berebut-rebut, ambil sekadar yang perlu, berterima kasih apabila selesai melakukan aktiviti jual beli barang dan servis serta berakad dengan jumlah barang atau servis yang diterima.
Program ini telah berjaya dihadiri lebih kepada 300 pengunjung luar dan dalaman dan melibatkan hampir 110 orang sukarelawan terdiri saripada Kor SUKSIS dan para pelajar FPHP. Turut hadir dalam majlis bagi memeriahkan pelepasan peserta adalah Profesor Ts. Dr. Mazidah Puteh yang menjalankan fungsi Rektor, bersama Timbalan Rektor HEA – Prof. Madya Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman dan Prof. Madya. Dr. Hj. Rosman Mahmood, Timbalan Rektor PJI UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun. Program ini jelas mendapat maklum balas yang positif dikalangan komuniti luar dan pelajar sendiri. Inisiatif ini akan terus dilaksanakan bagi meneruskan nilai murni yang memberi impak dan menghayati nilai-nilai kasih sayang, empati, dan Kerjasama di kalangan penganjur dan pengunjung.