Jerayawara BEVA Di UiTM Kampus Raub Telah Berjaya Mempromosikan Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226)

RAUB, 2 Januari 2025 – Program Jerayawara BEVA anjuran Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban telah diadakan di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, bertempat di Dewan Titiwangsa dan dihadiri oleh lebih kurang 350 orang pelajar. Objektif utama program tersebut adalah untuk mempromosikan program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) kepada pelajar diploma tahun akhir di UiTM Kampus Raub, terutamanya kepada pelajar semester 5 program Diploma Pentadbiran Awam (AM110). Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk memberikan kefahaman serta menarik minat pelajar tahun akhir diploma untuk menjadikan program AM226 sebagai pilihan utama mereka.

Hal ini kerana program AM226 bakal melaksanakan pelan pengajian terbaharu selepas semakan kurikulum program ini telah mendapat kelulusan. Pada semester akan datang, program AM226 bakal menawarkan pengisian kod kursus serta penilaian yang menepati keperluan pasaran kerja terutamanya dalam bidang industri hijau dan kelestarian. Pengajian AM226 akan menggabungkan elemen teori dan praktikal berpaksikan kepada Sustainable Development Goals (SDG), sebuah agenda pembangunan mampan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kod-kod kursus yang ditawarkan juga bakal menerapkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, kerja kursus di lapangan dan makmal, penggunaan perisian seperti Geographic Information System (GIS), Microsoft Project dan pelbagai kecerdasan buatan (AI). Program ini juga bakal meneruskan pelaksanaan program kemasyarakat melalui komponen Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) pada setiap semester. Tambahan lagi, program AM226 bakal menjadi program pertama peringkat prasiswazah di FSPPP yang akan melaksanakan latihan praktik selama satu semester iaitu semasa di semester akhir pengajian.

Sesi Jerayawara BEVA kali ini melibatkan beberapa komponen iaitu ceramah dan penerangan secara komprehensif berkaitan program AM226, perkongsian ilmu berkaitan amalan cara hidup lestari oleh Puan Saidatul Akma Hamik, serta pameran akademik berkaitan kejayaan BEVA serta tindakan advokasi yang dijalankan oleh pelajar-pelajar program AM226. Reruai pameran yang berkaitan dengan SDG telah disediakan oleh pihak Majlis Tertinggi BEVA yang memberikan fokus kepada aktiviti kitar semula. Antara aktiviti yang dijalankan di reruai terbabit adalah permainan susun suai gambar, pesanan buat bumi,  aktiviti “plastic fusing” dan pameran pakaian lestari yang telah dihasilkan menggunakan bahan kitar semula. Secara keseluruhannya, pengisian program ini telah menyumbang kepada pelaksanaan SDG4 (Quality Education), SDG13 (Climate Action), dan SDG17 (Partnership for the Goals).

Dalam penerangan beliau, En. Mohd Idham Bin Mohd Yusof telah memberikan penekanan terhadap keunikan program AM226, potensi kerjaya yang meluas dan kejayaan alumni AM226 dalam pelbagai bidang industri hijau. Kini, terdapat alumni AM226 yang telah berjaya menjawat jawatan dalam pelbagai organisasi sama ada di syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia yang menekankan pelaksanaan ESG, atau dalam pelbagai peringkat sektor awam. Hal ini termasuk juga industri dan perkilangan yang menekankan bidang keselamatan dan kesihatan alam sekitar serta syarikat-syarikat perunding alam sekitar.

Program AM226 amat relevan untuk menyediakan tenaga kerja dan golongan profesional dalam bidang kelestarian dan pembangunan mampan. Ia mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan MADANI yang menekankan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, komitmen untuk menoktahkan penggunaan plastik sekali guna serta komitmen negara untuk mewujudkan Akta Perubahan Iklim. Dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan telah meletakkan tema kemampanan sebagai salah satu fokus utama membuktikan Malaysia bakal menjadi hub kelestarian bukan sahaja pada peringkat rantau Asia Tenggara, bahkan pada peringkat global. Justeru sejumlah besar modal insan dalam industri hijau amatlah diperlukan di Malaysia.

Nama Penulis: Izza Anissa Mohd Yusof, Mohd Idham Mohd Yusof, Saidatul Akma Hamik, Dr. Nor Syamaliah Ngah