JAMUAN UNTUK 200 JEMAAH DI YOGYAKARTA DISAMBUT MERIAH

YOGYAKARTA, 6 September 2023 – Seramai 12 orang mahasiswa dari Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan program kesukarelawanan dengan kerjasama dan penglibatan penduduk di sekitar Masjid Agung Gamping, Yogyakarta dan 3 buah universiti iaitu Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Universitas Negeri Yogyakarta dan Universitas Ahmad Dahlan.

Program Eksplorasi Yogyakarta: SUDARA (SULAM-AKADEMIK-KESUKARELAWANAN) yang turut mendapat sokongan penuh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Bahasa, berjaya melaksanakan keseluruhan aktiviti yang dirancang dengan jayanya selama 1 minggu bermula 3 September yang lalu.

Secara keseluruhannya, program ini dapat mengasah kemampuan pelajar dalam komunikasi antarabangsa, pengurusan acara sekaligus meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan peserta.

Program ini juga menyambut baik Matlamat Pembangunan Lestari berpaksikan Matlamat 2: Sifar Kelaparan melalui inisiatif menyediakan makanan seperti nasi, gulai kambing dan gulai daging yang dimasak bersama masyarakat setempat. Selain itu, mahasiswa-mahasiswa juga mengambil peluang untuk membantu pihak masjid membersihkan kawasan sekitar, ruangan solat dan tandas.

Semua jemaah yang hadir juga sempat mendengar perkongsian tazkirah ringkas daripada Dr. Mohamad Nor Amin, pensyarah Bahasa Arab dari Akademi Pengajian Bahasa, sebaik sahaja menunaikan Solat Isyak secara berjemaah.

Memeriahkan lagi majlis apabila penduduk tempatan, seluruh mahasiswa yang terlibat sebagai sukarelawan, turut sama menikmati gulai daging dan gulai ayam yang dimasak secara gotong-royong.