Jalinan Kemasyarakatan Di Antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UCPH Bersama Tadika Tahfiz Negeri Pahang

Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan kerjasama dengan Tadika Tahfiz Negeri Pahang Cawangan Jengka Pusat, Maran Pahang untuk melangsungkan Temasya Sukan Tahunan. Program ini dijalankan sebagai usaha untuk menjalinkan hubungan pensyarah dengan masyarakat setempat.

Program Khidmat Masyarakat ini amat bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang terdiri daripada 17 matlamat dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Secara ringkasnya ianya meliputi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.

Oleh yang demikian, SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik telah diaplikasikan dalam program ini di mana pihak UiTM Cawangan Pahang berkongsi kemudahan tempat menjalankan aktiviti sukan dengan komuniti setempat (SDG 3.3.3).

Temasya Sukan Tahunan ini telah diadakan pada 28 Mei 2022 bermula jam 7.30 pagi hingga – 12.00 tengahari di Rumah Tamu UiTM Cawangan Pahang. Majlis ini disempurnakan perasmiannya oleh YBrs En Mohd Risham bin Jaafar, Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) UiTM Cawangan Pahang yang mewakili YBrs Ts Zulhafizal Othman, Ketua PPKA.

Seramai 14 orang pelajar dan Ibu bapa Pelajar Tadika Tahfiz Negeri Pahang terlibat dalam temasya sukan kali ini. Temasya sukan ini berlangsung dengan lancar dan penuh kemeriahan. Sokongan daripada ibu bapa sangat positif kepada temasya anjuran bersama ini. Program ini diketuai oleh YBrs Puan Fadhluhartini Muftah selaku Pengarah Program dan dibantu oleh para jawatankuasanya.

Program khidmat masyarakat ini dapat menyerlahkan lagi PPKA UiTM Cawangan Pahang kepada masyarakat setempat melalui sokongan yang diberikan kepada Tadika Tahfiz Negeri Pahang agar jalinan erat dapat diwujudkan.

Sokongan pihak universiti secara lisan, tenaga, peralatan, tempat dapat melaksanakan program dengan lancar dan jayanya. Usaha kecil ini berjaya mencapai matlamat dan objektif yang disasarkan iaitu mengeratkan silaturahim di antara pensyarah PPKA UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan guru-guru serta ibu bapa murid Tadika Tahfiz Negeri Pahang serta membina imej UiTM Cawangan Pahang yang dinamik dan prihatin terhadap keperluan komuniti setempat.

Jutaan terima kasih kepada YBhg Profesor Ts Dr Haji Mohd Ilham Adenan , Rektor UiTM Cawangan Pahang yang memberikan kelulusan dan sokongan kepada program USR PPKA ini. Jutaan terima kasih kepada pengurusan Tadika Tahfiz iaitu YBrs Cik Nur Amirah Ishak selaku Guru Besar, Cik Syarifah Najwa Syed Zainal Abidin dan Siti Nurfatihatul Syuhada Mohd Faizal serta kepada semua yang terlibat. Ini merupakan satu aktiviti permulaan atas kerjasama PPKA dan Tadika Tahfiz Negeri Pahang. Pihak PPKA akan terus menjalinkan kerjasama ini dan membantu kecemerlangan Tadika Tahfiz Negeri Pahang.