Jalinan Kasih bersama Asnaf Kampung Plaie, Kota Samarahan Inisiatif UiTM Sarawak

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK – 4 April 2024: Dalam semangat kasih sayang dan menyantuni komuniti bersempena bulan suci Ramadan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dan Unit Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), UiTM Cawangan Sarawak telah bersama-sama menganjurkan program “Jalinan Kasih Asnaf Kampung Plaie, Kota Samarahan”. Program yang berlangsung pada 4 April 2024 (Khamis), merupakan sebahagian daripada inisiatif University Community Responsibility (USR) UiTM yang bertujuan untuk menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan di Kampung Plaie, Kota Samarahan.

 

Program ini dihadiri oleh dua puluh dua (22) orang penerima sumbangan yang menerima bantuan bagi mengurangkan beban kewangan mereka sepanjang bulan yang mulia ini. Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan ini, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa bin Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa yang menjalankan fungsi Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang dan peserta komuniti dalam menjayakan usaha mulia ini. “Ramadan adalah masa untuk berkasih sayang dan memberi dan melalui inisiatif seperti Jalinan Kasih, kami berhasrat untuk mengeratkan lagi perpaduan dan kepedulian di kalangan komuniti,” jelas beliau. Program ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti pengagihan barangan asas dan sumbangan bantuan kewangan. Ini jelas menunjukkan bahawa UiTM Cawangan Sarawak komited untuk terus terlibat dalam inisiatif komuniti yang memberi impak dan menghayati nilai-nilai kasih sayang, empati, dan perpaduan.