COVID-19: Jahit PPE Bantu Isi Masa Penuntut UiTM Seri Iskandar, Perak

Pensyarah dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar berganding bahu menyediakan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) untuk barisan hadapan.

Aimanur Hadif Ashghadzie, 23, berkata dia sedikit terkesan kerana tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga selain terpaksa menanggung kerugian tiket kapal terbang ke Sarawak, namun luka itu sedikit terubat kerana dapat turut sama membantu barisan hadapan negara.

Menurut penuntut semester ketiga, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur itu, beliau secara sukarela melibatkan diri dalam projek tersebut biarpun tidak mempunyai asas dalam dunia jahitan.

“Ia ambil masa untuk saya belajar namun berkat bimbingan pensyarah dan beberapa rakan, semuanya berjalan lancar dan saya berasa gembira dapat memberi sumbangan tenaga kepada barisan hadapan di hospital,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini. 

Bagi pelajar jurusan fesyen, Nurul Amirah Emran, 19, beliau terlibat dengan projek itu demi membantu petugas hospital selain mahu menghabiskan waktu dengan perkara berfaedah selepas tidak dapat pulang ke rumah ibu bapanya di Jerantut akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac.

“Sambil membantu menyediakan kelengkapan PPE ini, saya dapat menimba ilmu dan meningkatkan kecekapan menjahit terutama yang melibatkan pembelajaran saya nanti,” katanya.

Penyelaras projek, Dr Zainudin Md Nor berkata pihaknya menjangkakan lebih 2,000 PPE dapat disediakan untuk diagihkan kepada Unit Kesihatan UiTM Seri Iskandar, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Perak Tengah dan Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh.

Projek itu bermula sejak 6 April lalu membabitkan 12 pelajar serta 15 pensyarah.

Sumber :
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1830472&fbclid=IwAR2cfGKDMrOpyYczrGRVar9vmtiiB0iSqdVQflaRFXrWGTP9UmOmOtgF3uI