PULAU PERHENTIAN, 14 Jun 2023 – Kelab Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter, sebuah kelab yang dikelolakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Terengganu dan JAS Negeri Selangor, kolaborasi bersama Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, KT Wan Recyle Sdn.Bhd, Secret Recipe Sdn. Bhd. dan Penghulu Pulau Perhentian telah menjalankan kempen kesedaran pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) kepada komuniti di sekitar Kampung Nelayan, Pulau Perhentian. Modul kempen kesedaran ini telah direalisasikan melalui program Oceaners Assemble yang dijalankan selama tiga hari dua malam pada 3-5 Jun 2023.
Kempen Jom Lupus E-Waste melibatkan semua lapisan masyarakat merangkumi pelajar sekolah SK Pulau Perhentian, penduduk tempatan dan para pelancong bagi memupuk dan membudayakan budaya pemuliharaan alam sekitar dengan membuang sisa pepejal ini pada tempat yang betul supaya tidak menyumbang kepada ledakan pencemaran sisa E-waste kepada alam sekitar. Selain itu, program yang dianjurkan ini juga menyahut seruan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar iaitu sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 13,14 dan 15 iaitu Tindakan Iklim, Hidupan di Atas Air dan Hidupan di Atas Darat seiring dengan Sustainability Road Map UiTM yang telah dirangka bagi melestarikan aktiviti dan program anjuran Universiti Teknologi MARA di seluruh Malaysia.
Pelaksanaan program kesedaran dan pengumpulan sisa elektrik dan elektronik ini telah dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti seperti mendekati penduduk sekitar dan memberikan brosur berkaitan dan sesi penerangan mengenai E-Waste secara ringkas dan padat. Di samping itu, aktiviti-aktiviti yang menarik juga turut diadakan bagi menarik perhatian penduduk sekitar seperti pemberian barang-barang secara percuma, mainan terpakai, buku-buku terpakai, baju-baju terpakai dan juga baja organik. Aiskrim goyang yang dihasilkan sendiri oleh pelajar UiTM juga diberikan kepada mereka yang singgah di booth.
Sementara itu, penglibatan pelajar sekolah SK Pulau Perhentian seramai 70 orang dengan pengisian aktiivti-aktiviti menarik turut dijalankan. Slot pertama yang dijalankan bersama pelajar-pelajar tersebut adalah ceramah ilmiah berkaitan E-waste, Usb and Ladder, penerangan E-waste melalui flash card, Charades and E-waste dan pemberian aiskrim goyang secara percuma. Untuk slot terakhir Waste2Art, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai fasilitator untuk menunjukkan cara membuat beg daripada baju terpakai. Sambutan para pelajar yang diterima melalui program yang dilaksanakan amat mengalakkan. Perkara ini membuktikan bahawa kesedaran mengenai pengurusan sisa E-Waste boleh dilaksanakan kepada generasi muda melalui kaedah pelaksanaan aktiviti-aktiviti menarik yang bersesuaian dengan peringkat umur audiens.
Sisa E-Waste seperti peti ais, telefon pintar dan kipas lama telah berjaya dikumpul melalui hasil sumbangan masyarakat. Hasil pungutan sisa E-waste daripada penduduk tempatan dan pelancong ini dibawa dari pulau ke tanah besar menggunakan bot dan diberi kepada Syarikat KT WAN Recycle Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat pengurusan sisa E-waste berlesen di Negeri Terengganu. Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Encik Ramli bin Abd. Rahman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Kelab Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter, Dato’ Wahadaniah, Ambassador RAS UITM SC, Puan Noor Afzan Zakaria, Timbalan Pendaftar Pusat Kegiatan Pelajar (BHEP), UiTM Shah Alam dan Ts Nur Ain Mohd Zainuddin, Pensyarah Penasihat, Kelab RAS UiTM Student Chapter serta semua pihak yang terlibat.
Tambah beliau lagi, komitmen serta kerjasama Guru Besar dan seluruh warga SK Pulau Perhentian harus dicontohi dalam merealisasikan program ini dengan jayanya. Program Jom Lupus E-Waste ini juga dianjurkan bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2023. Pada tahun ini yang membawa tema ‘Hentikan Pencemaran Plastik (Beat Plastic Pollution)’, katanya lagi.