Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor UiTM

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

19 Mac 2019 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor UiTM dalam satu istiadat yang telah berlangsung dengan penuh tertib dan gilang-gemilang di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pagi ini.

Istiadat pemasyhuran telah disempurnakan oleh YB Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia. YB Menteri semasa membaca watikah pelantikan memaklumkan bahawa Seksyen 19A (2) Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) memperuntukkan bahawa Canselor ialah Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan kepada Peruntukan Seksyen 19A (1) akta berkenan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hendaklah mempengerusikan konvokesyen universiti. Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90 akan membuka tirai pada 23 Mac 2019 hari Sabtu ini di lokasi yang sama.

Al-Sultan Abdullah bertitah, UiTM perlu menyediakan pengajian yang mengkaji pemikiran, kepintaran serta budaya kepelbagaian bangsa yang merentasi zaman sebagai bekalan untuk memartabatkan bangsa tanpa merubah identiti dan matlamat asal penubuhan universiti ini.

Titah baginda, ini bagi menentukan bangsa Melayu dan Bumiputera terus berdaya saing di pentas global.

“Di zaman keagungan Islam, Khalifah Umar Al-Khattab telah menyarankan ilmu pengetahuan yang berguna kepada anak-anak ialah berupa ilmu pengetahuan bagi zaman akan datang.

“Melalui pendidikan ini, ia boleh merubah jiwa dan stigma Bumiputera dengan membina keyakinan diri bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera mampu bersaing di persada dunia,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga percaya jika sesuatu bangsa itu ingin merubah dan mengatasi cabaran yang mendatang hendaklah memiliki modal insan berilmu pengetahuan dan memiliki pegangan spiritual serta sahsiah yang unggul.

Justeru, baginda menitahkan UiTM turut mempunyai tanggungjawab besar untuk menyemak nilai integriti dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.

“Nilai integriti ini mesti juga tersemat dalam tunjang kepimpinan sesebuah organisasi kerana kepimpinan yang beretika dan berwibawa akan menjamin kecemerlangan organisasi.

“Saya menyeru kepada sekalian warga untuk sama-sama membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan agar menjadi insan yang bermoral, beretika dan terpuji,” titahnya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menyeru kepada sekalian rakyat negara ini untuk mengelakkan sebarang tingkah laku mahu pun pertuturan yang boleh mengakibatkan berlakunya perpecahan dan perbalahan, serta fitnah dan hasad dengki.

“Semua ini akan hanya mengundang kemusnahan kepada tamadun bangsa dan kemajuan negara yang telah sekian lama terbina,” tegas baginda.

Foto menarik:

Sumber:
http://www.kosmo.com.my/terkini/al-sultan-abdullah-dimasyhur-canselor-uitm-1.864671

1
0