ISLAM, RAJA DAN WAKAF DI MALAYSIA

SHAH ALAM, 7 Ogos 2023 – Wakaf adalah satu kaedah penyerahan harta yang dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai. Wakaf adalah amalan yang mendekatkan diri dan mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T (Taqarrub Ilallah). Biasa kita dengar tentang wakaf apabila seseorang yang mempunyai sebidang tanah telah mewakafkan tanah tersebut untuk didirikan sebuah masjid untuk kegunaan umat Islam beribadah. Wakaf pada dasarnya menyerahkan harta yang berbentuk kekal seperti infrastruktur dan wang tunai untuk kegunaan orang ramai tidak mengira orang Islam ataupun bukan.

Maka itu, sekali lagi Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA telah menggerakkan satu wacana bersiri iaitu Bicara Akademia pada 7 Ogos 2023 bersamaan hari Isnin yang bertajuk Islam, Raja dan Wakaf di Malaysia. Ia satu inisiatif dari pihak Kursi Institusi Raja-Raja Melayu berkongsi ilmu tentang pengurusan wakaf dan hubungannya dengan institusi beraja kepada masyarakat. Turut mengundang seorang panel iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki Bin Yaakob, menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA.

Menurut Dr. Mohd Ashrof, wakaf dalam konsep sebenarnya yang perlu difahami adalah ia adalah satu proses pemberian harta yang bersifat kekal dan manfaat dari harta tersebut akan mengalir walaupun kita sudah lama meninggal dunia. Ia tidak sama dengan sedekah dan tidak sama dengan zakat, infak dan lain-lain. Pengurusan wakaf berbeza mengikut negeri-negeri. Contoh di Selangor, ada satu perbadanan khusus untuk menguruskan wakaf iaitu Perbadanan Wakaf Selangor sebagai satu tindakan serius kerajaan yang berada di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Menurut sejarah, sebenarnya wakaf-wakaf di Tanah Melayu ini digerakkan oleh Sultan. Melihat kepada penubuhan institusi-institusi agama, sebenarnya diasaskan atau diwakafkan oleh baginda Raja-Raja. Contoh di Negeri Kedah, kebanyakan sekolah-sekolah agama ini dinamakan mengikut nama-nama Sultan kerana bagindalah yang mengasaskan wakaf pembinaan institusi-institusi pendidikan pada ketika itu. Salah satunya adalah Sekolah Maktab Mahmud atau lebih dikenali Al-Maahad Al-Mahmud yang merupakan sekolah agama yang diwakafkan dan dinaungi oleh Sultan Kedah. Tidak lupa juga di negeri-negeri lain turut ada nama-nama Sultan yang diabadikan pada institusi pendidikan yang sudah baginda Raja-Raja mewakafkannya. Jadi kita dapat lihat hubungan antara Raja dengan Islam serta umat Islam amat rapat dan signifikan serta dapat lihat juga perkembangan Islam yang berkembang pesat hingga ke hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah peranan Raja-Raja itu sendiri mempertahankan institusi agama Islam dan menyebabkan ia masih kekal dan sangat relevan.

Hasil wakaf dari orang ramai akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat secara umum. Contoh yang diberikan oleh Dr. Mohd Ashrof, pembinaan hospital adalah tanggungjawab pihak kerajaan. Tetapi ia menjadi kekangan apabila kerajaan tidak mampu membina hospital yang banyak, maka dengan itu syarikat-syarikat swasta akan membina hospital swasta dan ini memberi kepayahan kepada masyarakat yang berpendapatan rendah untuk menikmati fasiliti kesihatan. Solusinya di sini adalah dengan membina hospital wakaf, jika sekiranya seluruh umat Islam bersama-sama menyumbangkan sedikit wang yang ada untuk membina hospital wakaf dan hospital tersebut mencapai taraf hospital swasta tetapi ia diuruskan dengan dana wakaf.

Akhirnya umat islam yang memerlukan akan mendapat fasiliti kesihatan setaraf swasta tapi dibiayai oleh dana wakaf dan mungkin pembiayaan dan kos-kos lain dibiayai oleh dana zakat yang khusus diagihkan kepada asnaf. Keperluan juga untuk pembinaan stadium yang digunakan orang ramai, jadi kutipan yang dibuat akan membantu sedikit sebanyak akan memberi nilai kepada seluruh masyarakat terutama sekali kepada golongan yang amat memerlukan.

Kesimpulannya, peranan institusi beraja sangat penting dan baginda-baginda adalah faktor yang menentukan kejayaan zakat dan wakaf di Malaysia. Contoh kutipan zakat di Selangor sudah mencapai RM 1 billion pada tahun lepas. Itu menandakan kesedaran umat Islam untuk berwakaf semakin tinggi. Pada masa yang sama, dengan kebenaran dari Duli-Duli Raja-Raja untuk membangunkan wakaf dengan menyediakan infrastruktur-infrastruktur yang penting untuk keperluan rakyat. Ini adalah peranan semua pihak termasuk Majlis Raja-Raja. Semoga ekonomi umat Islam terus berkembang dan dapat dinikmati bersama termasuk orang bukan Islam sejajar dengan konsep Islam sebuah agama yang membawa rahmat.