International Volunteerism UiTM X UNJ di TK Labschool Rawamangun, SD Labschool PGSD FIP UNJ dan Rusunawa Jatinegara Kaum

JAKARTA, 20 September 2023 – Hari ketiga program International Volunteerism ini memfokuskan kepada kegiatan volunteering yang bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat serta meningkatkan pemahaman dalam berbagai bidang. Aktiviti ini melibatkan sejumlah pihak, termasuk Taman Kanak-Kanak (TK), Sekolah Dasar (SD), universiti dan warga Rusunawa.

Program dimulakan dengan sesi volunteering pengajaran di TK Labschool Rawamangun. Mahasiswa UiTM dibahagikan kepada beberapa kelompok dan mereka diberikan tugasan di stesen-stesen yang berbeza. Fasiliti yang lengkap dan persekitaran yang kondusif di Labschool ini menjanjikan perkembangan anak-anak dari segala aspek secara optimal. Antara aktiviti yang dikendalikan adalah seperti block building, lego challenge, painting, flashcards, dan spelling bee. Kami seterusnya bergerak menuju ke SD Labschool PGSD FIP UNJ yang mengambil masa sekitar setengah jam. Ibu Dr. Gusti Yarmi selaku koordinator PGSD FIP UNJ menyampaikan ucapan ringkas dan mengalu-alukan kedatangan delegasi UiTM ke Labschool PGSD. Kesemua mahasiswa UiTM berpeluang mengajar Bahasa Inggeris dan STEM kepada siswa kelas 4-6.

Selesai slot volunteering pengajaran, pasukan bergerak ke belakang bangunan PGSD untuk sesi Replantation bersama tim Fakulti Sains Gunaan (FSG) dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA). Wakil mahasiswa FAP, saudara Mohamad Aaron Hakimy menjelaskan penggunaan serta cara penyediaan organic herbicide menggunakan cili, bawang putih, minyak masak serta pencuci pinggan. Demonstrasi teknik penanaman kembali turut disampaikan kepada para siswa dan pihak UNJ.

Setelah rehat, kami meneruskan perjalanan ke Rusunawa Jatinegara Kaum untuk sesi pemberian barangan keperluan di samping menyantuni warga Rusunawa, bertepatan dengan tema slot terakhir untuk hari tersebut, “Sharing Happiness through Act and Solidarity”. Ketibaan pihak UiTM disambut mesra oleh warga Rusunawa. Kami juga dapat meluangkan masa bersama anak-anak Rusunawa melalui sesi ramah mesra dan Game Session. Majlis diserikan lagi dengan 3 persembahan warga Rusunawa dari 3 peringkat umur. Dekan FSG UiTM, Prof. Dr. Hjh. Farida Zuraina Mohd Yusof di dalam ucapannya mengutuskan rasa bangga terhadap mahasiswa UiTM dan UNJ atas partisipasi kedua-dua belah pihak dalam menjayakan aktiviti amal ini. Pihak Rusunawa juga memberikan plak penghargaan kepada UiTM sebagai tanda apresiasi atas dukungan kami dalam kegiatan khidmat masyarakat ini. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan.

Aktiviti volunteering dan khidmat masyarakat ini merupakan contoh kolaborasi yang sukses antara institusi pendidikan, masyarakat, dan organisasi. Semua pihak menyumbang untuk mencipta pengalaman yang bermakna bagi siswa dan warga Rusunawa, serta memberikan impak positif dalam pengajaran dan pembelajaran. Semoga penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.