12 June 2024 Seri Iskandar : Pusat Pascasiswazah UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama University Of Dhaka, Dhaka, Bangladesh telah menganjurkan satu Simposium “International Post Graduate Symposium” yang bertema “Global Perspectives in Design : A Fushion of Art and Technology”. Simposium ini telah diadakan secara bersemuka di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Perak dan dihadiri oleh 60 pelajar pascasiswazah.
Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Rektor Pusat Jaringan dan Industri, UiTM Cawangan Perak dan dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ketua Pusat Pengajian Pascasiswazah UiTM Cawangan Perak. Di samping itu, Timbalan Naib Canselor Akademik, University of Dhaka iaitu Professor Dr Sitesh Chandra Bachar juga memberikan ucapan bagi meraikan kerjasama yang baik antara dua universiti ini. Simposium ini menampilkan lima pembentang yang merupakan pensyarah University Of Dhaka. Pensyarah yang terlibat termasuklah Assoc. Prof. Sidharta Dey, Assoc. Prof Md Maksudur Rahman, Mohamad Ferdhaus Khan Shawon, Md Nazvi Islam dan Assoc. Prof Md Abdul Momen. Seorang pembentang adalah mewakili agensi daripada Majlis Perbandaran Manjung dan tiga pembentang mewakili Pensyarah UiTM Cawangan Perak.
Simposium ini bertujuan untuk menonjolkan perkembangan inovasi dalam bidang reka bentuk, seni dan teknologi dari seluruh dunia dan mempromosikan pertukaran budaya dengan berkongsi pelbagai perspektif dari negara dan wilayah yang berbeza.Sehubungan itu, simposium ini menyediakan peluang pembelajaran melalui pembentangan, bengkel dan perbincangan yang diketuai oleh pakar dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan reka bentuk dan teknologi. Sesi perkongsian ini juga berjaya mengenal pasti, menangani cabaran , isu di aliran seni dan teknologi seperti pertimbangan etika, kemampanan dan kesan teknologi.Rangkaian antarabangsa yang telah berlangsung ini mencipta platform untuk profesional, pelajar dan para penyelidik untuk menjalin rangkaian, berkongsi idea dan mewujudkan hubungan yang boleh membawa kepada kerjasama masa hadapan. Selain itu, perbincangan ke arah aliran semasa, hala tuju masa depan dalam reka bentuk dan teknologi, termasuk cara bidang ini mempengaruhi juga dipengaruhi oleh faktor budaya, sosial seterusnya ekonomi.
Simposium yang dianjurkan oleh Pusat Pascasiswazah, UiTM Cawangan Perak telah berjaya menggabungkan perspektif global bertujuan untuk meluaskan pemahaman tentang cara seni dan teknologi yang boleh disepadukan ke dalam reka bentuk untuk mencipta penyelesaian yang inovatif antara Malaysia dan University of Dhaka. Dengan tema “Global Perspectives in Design : A Fushion of Art and Technology”, simposium ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan tetapi juga mewujudkan peluang kolaborasi melalui pertukaran pensyarah dan pelajar serta program yang akan datang. Usaha sebegini diharapkan dapat terus meningkatkan penghargaan untuk ekspresi budaya yang berbeza dalam reka bentuk, menyerlahkan pengaruh global boleh memperkayakan amalan tempatan. Di samping itu, menyediakan peluang untuk pembangunan profesional, pembelajaran dan rangkaian dalam kalangan pelajar, membantu mereka kekal di barisan hadapan dalam bidang mereka.