Puncak Alam, 4 September 2024 – Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah berjaya menganjurkan “International Medical Laboratory and Health Sciences Symposium 2024” buat julung kalinya secara atas talian. Simposium ini menumpukan kepada penyelidikan terkini dan inovasi dalam bidang sains makmal perubatan dan kesihatan.
Bertemakan “Transforming Healthcare through Innovation and Collaboration in Medical Laboratory & Health Sciences”, simposium ini menghimpunkan pelajar pascasiswazah, penyelidik, akademia dan pegawai Teknologi Makmal Perubatan untuk bertukar-tukar ilmu mengenai perkembangan terbaharu dalam bidang “Medical Laboratory Teknology, Digital Technology, Genetik and Molecular Biology Diseases dan Nutirition and Natural Product”. Dekan FSK, Prof. Dr. Zulkhari Amom, menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memacu kemajuan dalam bidang kesihatan. “Simposium ini merupakan platform yang unik, bukan sahaja untuk membentangkan penyelidikan dan pencapaian terkini, tetapi juga untuk memupuk dialog yang bermakna, bertukar-tukar idea, dan membentuk kerjasama baharu. Melalui usaha kerjasama ini, kita dapat mendorong sempadan keupayaan dalam penjagaan kesihatan, memastikan kita terus meningkatkan hasil rawatan pesakit, memperkukuh kemampuan diagnostik, dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau.
Penceramah utama yang berprofil tinggi adalah Professor Dr. Nor Fadilah Hj Rajab dari Fakulti Sains Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia membicarakan tentang teknologi makmal perubatan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan dengan membolehkan diagnosis yang tepat, merancang rawatan, dan meningkatkan hasil pesakit. Dari proses manual, teknologi ini telah berkembang kepada sistem automatik yang canggih, termasuk inovasi seperti diagnostik molekul dan penjujukan melalui aliran tinggi. Kemajuan ini telah merevolusikan diagnosis perubatan, membolehkan perubatan peribadi, pengesanan awal penyakit, dan rawatan yang lebih disasarkan. Trend semasa seperti integrasi AI, analitik data besar, dan automasi sedang membentuk bidang ini, walaupun cabaran seperti kos tinggi, keperluan pengawalseliaan, dan keperluan untuk personel yang terlatih masih ada. Trend yang muncul, termasuk teknologi makmal pada cip dan diagnostik yang dipacu AI, menjanjikan inovasi lebih lanjut dan meningkatkan akses kepada penjagaan, menjadikan sains makmal penting untuk masa depan penjagaan kesihatan.
Usai sesi ucap utama, disusuli dengan “oral presentation” oleh para peserta IMLHS 2024. Para peserta di agih mengikut kepakaran dan bidang masing – masing dan diadili oleh pengadil yang dilantik dari kalangan akademia dari Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dari National Institutes of Health (NIH). Para peserta IMLHS terdiri daripada kalangan pelajar pascasiswazah, teknologis makmal perubatan, akademia dan ahli profesion dari UiTM, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Tun Abdul Rahman (UTAR), Universiti Putra Malaysia (UPM), Institute for Medical Research (IMR) dan juga dari negara jiran iaitu dari Songkhla Rajabhat University, Thailand. Cik Nur Hazirah Tarmizi, pelajar pascasiswazah telah diumum sebagai Best Presenter dengan tajuk penyelidikan beliau “Characterization of Dual-species Oral Biofilm” , tempat kedua jatuh kepada pelajar pasca, Encik Anas Abdullah dengan tajuk penyelidikan beliau “Anti-Adipogenic Effects of Parkia speciosa Pod Extract on Adipogenesis in 3T3-L1 Adipocytes: An Untargeted Metabolomic Approach” dan tempat ketiga jatuh kepada pelajar dari UIA Cik Nurul Izzati Mohd. Shukri dengan tajuk penyelidikan beliau iaitu “Unmasking Colorectal Cancer Early: A Systematic Review on the Potentials of DNA Methylation Biomarkers’’
Simposium yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Puncak Alam, Selangor, berjaya menggabungkan perspektif global dalam bidang teknologi makmal perubatan. Simposium ini juga mewujudkan peluang kolaborasi antara penyelidik, ahli teknologi, dan profesional kesihatan. Usaha ini bertujuan menyediakan platform untuk pertukaran pengetahuan dan jaringan dalam kalangan pelajar dan profesional dalam bidang “Medical Laboratory & Health Sciences”.