MACHANG, 17 Januari – Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya menganjurkan persidangan “International Conference on Islam and Global Issues (iCIGI 2024)” bagi kali ke-2 yang bertemakan “The Future of Islam: Navigating Challenges in Local Values and Global Interconnectedness” pada 10 Januari 2024 (Rabu). Persidangan ini dianjurkan dengan kerjasama rakan kolaborasi iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Persidangan ini telah berlangsung selama satu hari dan diadakan secara bersemuka bertempat di HRD-A, UiTMCK dan juga secara dalam talian melalui platform YouTube dan Webex. Pada sesi pagi, Majlis Perasmian Pembukaan iCIGI2024 telah disempurnakan oleh Prof. Datuk Dr. Shahrin Bin Sahib @ Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM. Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian ucaptama daripada tiga orang ‘keynote speaker’ iaitu Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Dr. Hajah Mas Nooraini Haji Mohiddin, Dekan Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei dan Prof. Dr. Mohd Fauzi Hamat, Dekan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).
Manakala pada sesi petang pula, persidangan diteruskan dengan 13 sesi persidangan mengikut tema masing-masing dan diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup iCIGI2024 yang telah disempurnakan oleh Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri & Alumni.
Persidangan ini telah dihadiri oleh seramai 100 orang peserta secara bersemuka yang terdiri daripada Jawatankuasa Tertinggi Universiti, Ketua Program Pengajian, para pensyarah dan juga para pelajar. Manakala jumlah peserta dalam talian adalah seramai 1800 penonton. Program ini juga mendapat sambutan yang baik daripada kalangan ahli akademik, pihak industri dan juga pelajar. Sebanyak 80 penyertaan diterima untuk pembentangan kertas kerja daripada pelbagai institusi di dalam dan luar negara.
Tujuan persidangan ini diadakan adalah untuk menggalakkan budaya penyelidikan berkaitan Islam dan isu-isu global semasa serta sebagai wadah diskusi dan interaksi dalam kalangan para penyelidik tentang Islam dan isu-isu global semasa. Melalui persidangan ini, bahan atau karya ilmiah yang berkaitan dengan Islam dan isu-isu global masa kini dapat dikumpulkan dan diterbitkan untuk menjadi bahan rujukan pada masa hadapan.