7 JULAI 2024 – Program Interior Architecture Technology & Ideas Uitm Perak Collaborative Community Engagement @ Lenggong 2024, merupakan kolaborasi bersama Majlis Daerah Lenggong, Thinkcity, Jabatan Teknologi Seni Bina Dalaman, serta Persatuan Pelajar Program Teknologi Reka Bentuk Dalaman (Ideas). Program ini telah berlangsung dari 5 hingga 7 Julai 2024.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Local Agenda 21: Peningkatan Imej Bandar Pelancongan @ Lenggong dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Program satelit ini bertujuan untuk memupuk hubungan erat antara komuniti dan meningkatkan daya tarikan pekan Lenggong sebagai destinasi pelancongan, sekali gus menyokong pembangunan mampan.
Pada 6 Julai, program telah dimulakan seawal pukul 9 pagi dengan ucapan perasmian oleh En. Mohamad Hamidi Bin Baharuddin, Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Perak, diikuti ucapan daripada Pengarah Projek iaitu En. Muhammad Suhaimi Bin Musa. Turut bersama-sama di sepanjang program berlangsung adalah Prof. Madya Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab Gani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak.
Semua program telah berjalan serentak pada pagi tersebut, lawatan VIP dimulakan di pertandingan Recycle to Art, diikuti kunjungan ke program Misi Akademik, dan diakhiri dengan lawatan ke lokasi dinding mural yang bertujuan mempromosikan keindahan pelancongan Lenggong.
Bagi program Recycle to Art, pertandingan ini telah dibahagikan mengikut kategori umur. Pelajar sekolah rendah diberikan cabaran untuk mewarnakan poster bersaiz A4, manakala pelajar sekolah menengah telah diberikan caraban yang berbeza mengikut umur mereka. Pelajar sekolah menengah pula perlu menghasilkan kolaj poster A4 menggunakan bahan terbuang yang telah disediakan oleh penganjur.
Slot Misi Akademik diteruskan dengan melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah dari sekitar pekan Lenggong. Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian menarik selama 30 minit mengenai peluang dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Dalaman, diikuti oleh aktiviti permainan menguji minda di luar dewan. Pada masa yang sama, pameran hasil karya pelajar turut diadakan di luar dewan, menawarkan komuniti setempat peluang untuk melihat dan menghargai kreativiti mereka. Gabungan slot perkongsian, permainan, dan pameran ini berjaya menarik perhatian serta minat peserta dan penduduk sekitar.
Aktiviti melukis mural bermula pada awal pagi dan berjaya diselesaikan pada hari Ahad, 7 Julai 2024. Dua mural telah siap dengan jayanya hasil kerjasama pelajar dan pensyarah yang terlibat. Penghasilan mural ini bukan sahaja mencantikkan dinding, malah berpotensi menarik perhatian pelancong untuk bergambar dan mewar-warkan hasil karya tersebut. Secara tidak langsung, ini turut mempromosikan pekan Lenggong kepada orang ramai.
Pada 7 Julai 2024, pelajar telah terlibat dalam aktiviti berkayak yang diadakan pada hari terakhir program. Aktiviti ini bertujuan untuk membina semangat kerjasama yang kukuh dalam kalangan persatuan pelajar yang menyertai. Di samping itu, acara ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk melepaskan tekanan pembelajaran, terutama kerana program tersebut berlangsung pada minggu terakhir semester.
Program ini menekankan dua kategori SDG utama, iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan. Dengan sokongan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat, program ini bukan sahaja menggalakkan pendidikan yang lebih baik, tetapi juga menyedarkan semua tentang pentingnya mewujudkan bandar dan komuniti yang lestari.
Tujuan utama program ini adalah untuk menaikkan imej Pekan Lenggong sebagai pusat perkhidmatan utama yang mendukung sektor pelancongan di sini. Dengan melibatkan komuniti secara langsung, ia bukan sahaja mengeratkan hubungan tetapi juga menjadikan Lenggong lebih menarik untuk dikunjungi.