5 September 2024 – EduSculpt CTCS Design Competition Award Ceremony telah berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur. Program ini adalah kerjasama bersama industri tempatan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pengajian Senibina Dalaman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dengan pihak CTCS Sdn. Bhd., anak syarikat MTIB Malaysia. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengkaji keadaan semasa perabot murid dan guru sekolah rendah di Malaysia, yang masih menggunakan reka bentuk lama. Melalui kajian yang dibuat, para peserta diminta mengemukakan cadangan reka bentuk bagi kedua-dua jenis perabot ini. Peserta diminta mereka bentuk perabot sekolah dengan idea-idea baharu mengikut garis panduan yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini telah berlangsung selama 12 minggu bermula dari 16 April sehingga 25 Julai 2024, di mana program berbentuk ‘education contest’ ini telah disertai oleh 26 orang pelajar Semester 04 bersama-sama 2 orang pensyarah di bawah kod kursus ‘Theory and Application of Furniture Design’. Sepanjang program ini berlangsung, para pelajar telah berpeluang mendapat 3 kali sesi ‘crit session’ iaitu, perbincangan secara bersemuka bersama para juri profesional bagi membincangkan cadangan reka bentuk mereka. Para juri yang terlibat adalah dalam kalangan orang industri yang mempunyai pengalaman yang tinggi dalam bidang perabot. Antaranya adalah Ketua Juri, Dr. Eric Leong, Mr. Walter (Industrial Designer), Pn. Nik Zuraihah (MTIB), En. Almizi Ibrahim (MTIB) dan Tn. Hj. Farosham (Furniture Industry).
Pada sesi pertama, pelajar membentangkan hasil dapatan kajian mereka mengenai reka bentuk sedia ada perabot sekolah di Malaysia serta langkah-langkah kreatif bagi mengatasi isu yang dibentangkan. Sesi kedua pula, pihak CTCS telah membawa para pelajar ke Kilang Meranti Furniture Sdn. Bhd. bagi memberikan pendedahan tentang realiti pembuatan perabut bagi setiap projek kerajaan.
Di sini, pelajar-pelajar diajar tentang jenis-jenis kayu dan teknologi baharu dalam pembuatan perabot terkini di Malaysia. Melalui pengalaman ini, juga para pelajar sangat bertuah kerana mereka mendapat tunjuk ajar secara langsung yang boleh membantu meningkatkan kemahiran praktikal mereka. Hasil daripada dua sesi bersama juri profesional ini, ternyata reka bentuk yang dicadangkan adalah semakin baik dan lebih praktikal. Hasilnya dapat dilihat semasa sesi ketiga, di mana para pelajar membentangkan cadangan reka bentuk akhir mereka kepada para panel juri. Sebagai hasilnya, 11 cadangan reka bentuk telah disenarai pendek, dan ianya perlu dibentangkan pada 25 Julai 2024, dalam sesi ‘Final Judging’ di Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) UiTM Pencak Alam. Keputusan akhir, iaitu 6 pemenang dan 1 ‘special award’ telah diumumkan secara rasmi pada majlis ‘Malaysia Furniture Furnishings Market (MFFM) Opening Ceremony and CTCS Design Competition Award Ceremony’.
Hasil cadangan reka bentuk perabot para pemenang ini telah diberikan keistimewaan apabila pihak CTCS bersetuju untuk membuat prototype berskala 1:1 dan dipamerkan di pameran MFFM di PWTC bermula 5-7 September 2024. Keenam-enam perabot yang dibina ini telah mendapat anggaran tajaan sebanyak RM15,000 kesemuanya dari pihak CTCS Sdn. Bhd. Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penambahan aktiviti yang lebih pelbagai terutama dalam kreativiti pembuatan perabot di Malaysia, agar dapat memajukan kerjasama bersama industri dalam bidang Senibina Dalaman.