23 Ogos 2024 – Pada 19 hingga 23 Ogos 2024, telah berlangsung Landscape Architecture Summer Program 2024 (LASP2024). Program ini merupakan hasil kerjasama antarabangsa di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Perlaksanaan (Implementation Agreement) di antara Pengajian Senibina Landskap, UiTM Puncak Alam dengan Program Studi Arsitektur, Universitas Mataram (UNRAM), Indonesia. Program ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara pensyarah dan pelajar dalam bidang pengajian Senibina Landskap dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pelajar jurusan Arsitektur UNRAM melalui lawatan sambil belajar yang menekankan kepelbagaian landskap di Malaysia. Selain itu, program ini juga mempromosikan mobiliti pelajar serta memberikan pengalaman praktikal dalam pelbagai persekitaran seni bina dan landskap di Malaysia dan Indonesia. Program ini menyediakan peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman dalam seni bina landskap, ekologi bandar, dan warisan budaya Malaysia. Sepanjang lima hari program ini, pelbagai aktiviti dianjurkan untuk memberi peluang kepada pelajar dalam memahami kepentingan menggabungkan elemen sejarah dan budaya ke dalam reka bentuk landskap serta melihat bagaimana ruang hijau di bandar boleh meningkatkan biodiversiti dan kualiti hidup. Pada hari pertama, bertemakan “Landskap Ekologi,” peserta melawat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan untuk memahami reka bentuk lestari dan pemeliharaan habitat semula jadi dalam landskap bandar. Pada hari kedua pula, dengan tema “Landskap Warisan” pelajar dibawa ke Melaka, di mana mereka belajar tentang kepentingan mengintegrasikan elemen sejarah dan budaya dalam reka bentuk landskap. Pada hari ketiga, yang bertemakan “Landskap Budaya,” pelajar melawat Taman Agroteknologi MARDI dan terlibat dalam aktiviti seperti penanaman padi dan menangkap ikan, memberikan mereka pengalaman langsung dalam menggabungkan landskap pertanian tradisional dengan teknologi moden sekali gus mempromosikan sektor agro-pelancongan. Pada hari keempat, pelajar melawat Taman KLCC dan Putrajaya untuk mempelajari integrasi ruang hijau dalam bandar, termasuk pameran bunga di FLORIA Putrajaya 2024, yang mengajar keseimbangan antara keindahan, fungsi, dan kelestarian ekologi dalam reka bentuk landskap bandar. Secara keseluruhannya, majoriti peserta menilai program ini sebagai “Cemerlang,” dan berharap agar program mobiliti pelajar diteruskan lagi pada masa yang akan datang. Program LASP2024 bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan akademik antara UiTM dan UNRAM, tetapi juga menyediakan platform yang berharga untuk pertukaran ilmu dan perkembangan profesional bagi pelajar dan pensyarah. Program ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penambahan aktiviti yang lebih pelbagai dan interaktif untuk terus memajukan kerjasama antarabangsa dalam bidang seni bina landskap.
Antara aktiviti-aktiviti lawatan sambil belajar yang telah berlangsung sepanjang program LASP2024.