Inovasi Produk Makanan Baharu Oleh Pelajar Sains Dan Teknologi Makanan UiTM

SHAH ALAM, 9 JANUARI 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama UiTM cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah akan mengadakan sebuah program yang merupakan platform bagi pelajar jurusan Sains dan Teknologi Makanan (AS246) untuk mempamerkan pembangunan produk makanan dalam Pertandingan Food Innovation and Product Development 2023 (FIPD 2023).

Pertandingan inovasi ini merupakan kerja kursus utama pelajar semester 5 dan 6 Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan (AS246) UiTM Shah Alam dan UiTM Kuala Pilah bagi subjek Food Product Development (FST 668) yang memerlukan pelajar menghasilkan produk makanan berasaskan tuber-based food iaitu ubi yang menjadi tema bagi pertandingan edisi kali ini.

Objektif utama pembangunan inovasi ini adalah bagi memenuhi inisiatif ‘Strategic Action Plan’ (SAP HEP FSG 2022) di bawah projek i-FSG (FSG Talents). Pertandingan ini juga telah dianjurkan pada tahun lalu oleh Persatuan Teknologi Makanan (PERTEMA) UiTM Shah Alam pada 7 Julai 2022 membabitkan penyertaan dari pelajar UiTM Shah Alam.

Enam wakil industri iaitu Encik Goh Ton Sin, Pengurus Besar Easy Pack Machinery Sdn. Bhd., Puan Fadzillah Haryati Mohamad Yusof, Pengurus dan Koordinator SLPM FFS Training & Consultant PLT, Encik Aminuddin Husin, Pengurus Kanan Noraini Cookies Sdn. Bhd., Prof. Madya Dr Fazlena Hamzah, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam, Puan Nurshafikha Mohd Nor, Pengurus Jualan dan Pemasaran Kilang Kerepek Ani Biskut, dan Cik Yuslina Hanna Yunus, Penolong Pengarah Kanan dan Promosi Pasaran Dalam Negeri Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah dijemput bersama-sama 18 orang pensyarah Sains dan Teknologi Makanan (AS246) UiTM Shah Alam dan UiTM Kuala Pilah bagi mengadili pertandingan tersebut. Turut hadir bagi memeriahkan program ini YBhg. Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) sebagai tetamu kehormat dalam menjayakan program ini.

Seramai 19 peserta terdiri daripada 5 kumpulan dari UiTM Shah Alam dan UiTM Kuala Pilah akan bertanding dalam kategori yang dipertandingkan iaitu Persembahan Produk Terbaik untuk memenangi tiga tempat utama.