Inovasi kartografi dan geospatial dalam aplikasi kawalan penyakit tuberkulosis

Usahasama Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, UiTM dan Unit TB/Kusta Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menjayakan program pameran dan seminar kartografi.

SHAH ALAM – Seramai 49 mahasiswa Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selangor menunjukkan kreativiti dalam seminar, pameran dan pertandingan projek kartografi UiTM di Hab Media Kreatif dan Teknologi (CMT) baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG) ini telah mendapat kerjasama daripada Unit Tuberkulosis (TB) dan Kusta, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan siswazah FSPU. Sebanyak 17 produk peta dan sistem kreatif bertemakan kesihatan dan persekitaran telah berjaya dipamerkan kepada juri dan umum untuk penilaian dan sebagai satu platform kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga persekitaran serta kesihatan melalui aplikasi geospatial dan sistem maklumat geografi (GIS).

Dr. Abdul Rauf Abdul Rasam (paling kiri) bersama Timbalan Pengarah Hab CMT, Prof. Madya Dr. Mohd Zafrullah (paling kanan)

Menurut pensyarah kursus kartografi, Dr. Abdul Rauf Abdul Rasam, produk projek kreatif mahasiswa ini merangkumi tiga kategori iaitu peta tematik, risalah dan sistem interaktif.

“Projek berkumpulan ini perlu dijayakan oleh pelajar untuk melengkapkan kursus yang diambil pada semester 7. Pameran kali ini juga agak istimewa sebab ia melibatkan kerjasama daripada jabatan lain terutamanya dari JKNS dan juri daripada bidang lain seperti perhotelan, pengurusan tanah, taman dan bangunan, perancangan bandar dan lain-lain,” katanya lagi yang juga merangkap ketua program.

Ketua Unit TB dan Kusta JKNS dan juga salah seorang juri, Dr. Mas Ahmad Sherzkawee Mohd Yusoff berkata, program sebegini amat penting dan perlu diteruskan sebab ia bukan sekadar untuk mengukuhkan kerjasama di antara pihak jabatan dan universiti ke arah membenteras penyakit berjangkit seperti TB, bahkan untuk mengenalpasti potensi kerjasama yang boleh diketengahkan pada masa akan datang.

Contohnya, pasukan inovasi Unit TB Kuala Selangor telah memilih pemenang poster yang bertajuk ‘Khidmat Kaunseling untuk Pesakit TB’ dalam pameran ini bagi tujuan promosi kesihatan penyakit TB dikalangan rakyat.

Agenda menarik dalam program ini juga adalah ceramah yang bertajuk ‘Bagaimana Menjadi Seorang yang Kreatif’. Ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Hab CMT, Prof. Madya Dr. Mohd Zafrullah Mohd Taib ini menekankan kepentingan sifat kreatif dalam diri mahasiswa ke arah menghasilkan produk yang inovatif dan unik iaitu berbeza daripada hasilan yang biasa.

Program yang berasaskan pemetaan digital itu dirasmikan oleh Ketua PPSUG, Dr. Eran Sadek Said Md Sadek dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan program ini terutamanya kepada AJK, juri, warga PPSUG dan JKNS.

Diharap semua pihak yang terlibat mendapat manfaat daripada pameran ini, juga memberi panduan ringkas kepada peserta untuk menghasilkan peta yang menarik, memenuhi keperluan pengguna dan tepat selari dengan kerjaya sebagai seorang jurukur tanah dan juru geospatial.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan hadiah kepada juri dan pemenang. Tiga projek pilihan juri JKNS adalah ‘Corak Taburan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia’, ‘Diskriminasi Purata Gaji di Selangor?’ dan ‘Ramalan Aliran Penduduk di Selangor’, manakala hasil karya saudara Nazrin Jiro, Baqir Abdul Basir dan Mohd Daniel Laili yang bertemakan ‘Kaunseling TB’ telah dipilih sebagai pemenang bagi kategori poster.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/pendidikan/inovasi-kartografi-dan-geospatial-dalam-aplikasi-kawalan-penyakit-tuberkulosis-1.923505

0
0