Inisiatif Mini Library Sebagai Medium Kesukarelawanan Untuk Pendidikan

Shah Alam, 18 September 2024 – ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation merupakan program anjuran Jawatankuasa Perwakilan (JPK) Kolej Meranti dan Kolej Seroja dengan kerjasama Surau Al-Ansor Seksyen 2, Shah Alam. Program ini adalah sebuah projek kesukarelawanan yang dilaksanakan di dua negara, iaitu Perlis, Malaysia, dan Songkhla, Thailand pada pertengahan bulan September 2024. Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM, khususnya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi melalui inisiatif Mini Library ini. Objektif ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan hasrat Kerajaan Malaysia Madani dalam memperkasakan mahasiswa bermutu tinggi.

Projek ini memberi tumpuan kepada anak-anak yatim yang tinggal di Pusat Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYP) dan Sekolah Masjid Ban Nuea di Songkhla. Program yang dijalankan di kedua-dua rumah anak yatim ini merangkumi tiga aktiviti utama: sesi Equaducation, Mini Library, dan Boxes of Hope.

Salah satu aktiviti utama di rumah kebajikan tersebut adalah ‘Mini Library’. Projek ini dirancang untuk membina sebuah sudut bacaan di salah satu bilik serbaguna. Pembangunan sudut bacaan ini bermula dari reka bentuk awal hingga pemilihan perabot yang sesuai. Barangan keperluan untuk ‘Mini Library’ seperti rak buku, kertas dinding, tikar, dan ‘bean bag’ telah ditaja sepenuhnya oleh Dr. Azri’s Perfume. Sementara itu, bahan bacaan seperti buku cerita, komik, dan majalah pula disumbangkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam serta derma daripada orang ramai. PTAR menyumbang sebanyak 157 naskhah bahan bacaan yang bernilai RM3123.00.

‘Mini Library’ adalah hasil usaha pasukan sukarelawan ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation. Mereka membersihkan dan mengemas bilik serbaguna sebelum memulakan sesi pemasangan kertas dinding dan rak buku. Setelah selesai, tikar diletakkan, dan buku-buku disusun di atas rak. Proses ini mengambil masa lebih kurang 3 jam. Pihak sukarelawanan bekerjasama dengan bersungguh- sungguh menyiapkan ‘Mini Library’ ini dengan objektif yang sama, menambahkan platform pembacaan buku-buku yang bersumberkan ilmu pengetahuan bermanfaat untuk kecerdasan minda anak-anak yatim ini.

‘Mini Library’ di rumah kebajikan anak yatim di Perlis dirasmikan oleh Dr. Firdaus, pengetua Kolej Kediaman Meranti dan Seroja, bersama Naib Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYP), Dato’ Mohd Zain Hamzah. Di Sekolah Masjid Ban Nuea pula, ‘Mini Library’ dirasmikan oleh Dr. Firdaus bersama Dr. Ghazali, pengasas sekolah tersebut, dan Encik Rahman, AJK Surau Al-Ansor Seksyen 2 Shah Alam.

Dalam ucapan perasmian ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation di Pusat Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYP), Dr. Firdaus meluahkan rasa bangga atas kejayaan merealisasikan projek ‘Mini Library’ ini. Adik Puteri, 14, dari PKAYP, dan adik Akil, 12, meluahkan rasa gembira apabila melihat ‘Mini Library’ yang dipenuhi pelbagai buku menarik. Para anak yatim di PKAYP dan komuniti Masjid Ban Nuea kelihatan teruja melihat ‘Mini Library’ yang telah siap dibina oleh para sukarelawan.

Adik Akil turut menyatakan harapan untuk terus menuntut ilmu dan menjadi seorang guru yang dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda. Dia percaya bahawa dengan akses kepada buku-buku dan sumber ilmu yang lebih baik, anak-anak yatim lain juga mampu mencapai kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka. Akil, yang kini belajar tahfiz sains dan hafiz Al-Quran dengan hafalan 3 Juzuk, menunjukkan bahawa anak-anak yatim di sini mampu bersaing dan memiliki bakat yang luar biasa, serta boleh berbahasa Inggeris dan Thai dengan baik.

Penulis: Mohamad Zulzikri bin Sunar, Luqman Hakim bin Sarip, Nurin Dania binti Mohammad Zamizan & Zharfan Zulqarnain bin Saiponnizam