Inisiatif UiTM Menarik Pelajar Sekolah Rendah Menyemai Minat dalam STEM

PULAU PINANG – Pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) semakin diiktiraf sebagai elemen penting dalam dunia pendidikan, namun terdapat cabaran besar yang perlu ditangani, terutamanya kurangnya pendedahan pelajar kepada pendidikan STEM. Selain itu, pengaruh media sosial dan gajet yang semakin meluas turut menjejaskan tumpuan pelajar terhadap pembelajaran. Kegunaan gajet tanpa panduan yang betul bukan sahaja mengurangkan masa belajar, tetapi juga menjejaskan kreativiti dan fokus pelajar terhadap subjek-subjek utama seperti sains dan matematik. Kajian menunjukkan lebih 70% pelajar menghabiskan antara 4 hingga 6 jam sehari di media sosial, yang mana masa ini boleh digunakan untuk aktiviti pembelajaran yang lebih bermanfaat. 

 

Bagi mengatasi cabaran ini, Program Mini STEM 2.0 telah dianjurkan oleh Intelligent and Sustainable Manufacturing Center (ISMaC) dari Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh dengan kerjasama Penang Science Cluster, Kolej Komuniti Seberang Jaya, dan Boiler & Safety Engineering Club. Memasuki tahun kedua penganjurannya, program ini disertai oleh 27 staf dari Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM dan lima pelajar dari Boiler & Safety Engineering Club. Program kali ini mensasarkan pelajar Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Permatang To’ Kandu, Pulau Pinang, yang terletak hanya 1.4 km dari kampus UiTM. Seramai 200 pelajar dari enam kelas yang dinamakan sempena universiti-universiti tempatan seperti USM, UKM, UPM, UUM, UIA, dan UTM, terlibat dalam aktiviti-aktiviti STEM yang dianjurkan. Aktiviti-aktiviti seperti penggunaan pen 3D, pencetak 3D, mesin ukiran laser, robot sumo, dan perlumbaan kereta berjaya menarik minat pelajar untuk terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Penang Science Cluster turut memainkan peranan penting dengan menyumbangkan pelbagai peralatan bagi menjayakan program ini. Antara peralatan yang dipinjamkan adalah 31 unit pen 3D, 1 unit pencetak 3D, dan 5 unit pencetak laser. Sementara itu, Kolej Komuniti Seberang Jaya turut menyumbangkan 4 biji robot, 2 gelanggang, dan 1 unit pengecas bateri. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan, didapati pelajar lebih memahami konsep STEM selepas menyertai program Mini STEM 2.0 ini. Malah, pelajar turut menzahirkan rasa seronok dan teruja dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

 

Dengan adanya program seperti ini, usaha mengurangkan jurang pendidikan serta mengalihkan tumpuan pelajar daripada penggunaan gajet yang berlebihan kepada aktiviti pembelajaran yang lebih produktif dan bermanfaat dapat dilaksanakan, sekali gus memperkukuh penguasaan pelajar dalam bidang STEM.