Pada 28 Jun 2024, SMA Tarbiah Islamiah di Georgetown telah menjadi tuan rumah kepada program “MURO GARDEN” yang dianjurkan oleh mahasiswa Pengajian Kejuruteraan Kimia, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pelepasan karbon dan menggalakkan penanaman secara vertikal melalui konsep “wall farming”.
Dengan kerjasama Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang, acara ini telah melibatkan penyertaan 32 pelajar Tingkatan 3 serta 4 orang guru termasuk pengetua sekolah, Puan Zarina binti Zainon. Aktiviti bermula pada jam 10.00 pagi dengan kehadiran tetamu kehormat, diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan dan bacaan doa.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada pengetua sekolah dan pembentangan mengenai Sifar Karbon oleh 2 orang mahasiswa UiTM Cawangan Pulau Pinang. Pembentangan tersebut memberi penekanan kepada kepentingan mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan teknologi hijau seperti sistem hidroponik yang boleh digunakan dalam “wall farming”.
En. Sulaiman Abdullah, felo Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang, kemudian merasmikan program ini bersama Ir. Ts. Mohamed Syazwan Osman dan pengetua SMA Tarbiah. Gimik perasmian yang dilakukan menandakan bermulanya usaha komuniti sekolah dalam menanam pokok secara vertikal yang diharapkan dapat menangkap pelepasan CO2 dan mengurangkan jarak makanan, selaras dengan konsep karbon neutral.
Program ini juga menyaksikan penyerahan cenderahati kepada tetamu kehormat dan diakhiri dengan majlis penanaman anak pokok oleh komuniti sekolah serta sesi bergambar. Menurut Ir. Ts. Mohamed Syazwan Osman, “Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu alam sekitar, tetapi juga mengasah kreativiti mereka dalam menggunakan ruang yang terhad untuk penanaman secara efisien.”
Pelbagai aktiviti interaktif dan kuiz turut diadakan untuk meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar tentang pentingnya mengawal pengeluaran karbon. Pendekatan SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) yang digunakan dalam program ini membolehkan pelajar mengaplikasikan konsep akademik dalam situasi sebenar, sekaligus memberi manfaat kepada komuniti.
Program “MURO GARDEN” juga bertujuan untuk memperkenalkan projek hidroponik kepada masyarakat luar, memperlihatkan bagaimana penanaman secara vertikal dapat menjimatkan ruang dan memberi manfaat besar kepada alam sekitar. Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Program “MURO GARDEN” bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya tetapi juga mengeratkan hubungan antara UiTM Cawangan Pulau Pinang dan masyarakat setempat, terutamanya pihak sekolah. Selain itu, ia memberikan impak positif dalam usaha mencapai karbon neutral melalui aktiviti penanaman yang menangkap pelepasan CO2, selaras dengan matlamat jangka panjang kelestarian alam sekitar.