RAUB, 11-15 Julai 2024: Inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Pengajian Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara Kampus Raub menunjukkan pencapaian positif setelah keputusan semester diumumkan, kata Pengarah Program Noor Halimatus Sa’diah Ismail.
Beliau berkata sebagai contoh, prestasi pelajar di semua peringkat fakulti terutama yang mengambil subjek Matematik pada semester satu menunjukkan peningkatan yang positif, sekali gus memastikan pelajar terus bersemangat untuk menyambung pelajaran.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan program ‘Final Sprint MAT112, MathClinic 2024″ ini merupakan salah satu inisiatif Jawatankuasa PDCA (Plan, Do, Action, Check), Pengajian Sains Matematik dalam merangka program pembangunan pelajar dari aspek akademik.
Berdasarkan laporan keputusan penilaian berterusan semester semasa Mac 2024 – Ogos 2024, peratus kegagalan adalah melebihi 25% . Masalah ini agak membimbangkan tenaga pengajar yang mengajar subjek tersebut. Faktor yang jelas dapat dilihat oleh pengajar, iaitu pengetahuan pelajar yang agak lemah dalam matematik asas pengiraan, seperti pemfaktoran, operasi dan sebagainya. Hal ini agak menyukarkan pelajar memahami topik- topik pembelajaran bagi MAT112 (Business Mathematics), sekiranya pelajar lemah dalam asas pemahaman jalan kerja matematik ini.
Oleh yang demikian, Pusat Pengajian Sains Matematik mengambil langkah awal sebagai persediaan untuk mengurangkan peratus kegagalan bagi peperiksaan akhir sesi 2 2023/2024. Objektif program ini dapat mempersiapkan pelajar sebelum menghadapi penilaian berterusan 2 dan penilaian akhir dan memberi panduan dan cara menjawab soalan penilaian akhir bagi kod kursus tersebut.
Melalui tinjauan ringkas yang dilakukan oleh pihak penganjur mendapati bahawa hampir semua pelajar yang hadir ke program itu meluahkan rasa bersyukur kerana sedikit sebanyak program ini dapat membantu menyelesaikan persoalan serta ketidakfahaman mereka di dalam subjek tersebut. Pelajar mengharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Sedikit sebanyak program Final Sprint MAT112 MathClinic 2024 terbukti dapat membantu dalam mengurangkan peratus kegagalan dalam kalangan pelajar.