13 Oktober 2024 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Kampus Jasin telah menerima 20 orang pelajar dari dua universiti di Indonesia untuk program inbound mobiliti selama dua minggu, bermula 13 hingga 27 Oktober 2024. Seramai 12 orang pelajar adalah dari Universitas Islam Sumatera Utara, Medan, manakala selebihnya dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Barat, Padang, bersama pensyarah pengiring masing-masing.
Program ini membantu dalam pertukaran ilmu dan memperkukuh kefahaman budaya antara pelajar. Ia juga memberikan impak positif kepada fakulti dengan mewujudkan integrasi positif di antara FPA dengan universiti-universiti yang menawarkan pengajian dalam bidang pertanian di peringkat antarabangsa terutamanya Indonesia. Hasil daripada program ini akan membawa kepada hubungan kerjasama akademik, serta perkongsian kepakaran di antara FPA dengan pelajar-pelajar terlibat.
Pelajar berpeluang bekerjasama dengan pensyarah dan pelajar UiTM dalam projek akademik, penyelidikan, serta kerja lapangan. Mereka turut dibawa melawat sekitar kampus dan kemudahan yang disediakan, termasuk makmal penyelidikan, yang mungkin berbeza daripada apa yang terdapat di Indonesia. Selain itu, pelajar juga dibawa melawat ladang FPA seluas 100 ekar, di mana mereka turut melaksanakan kerja-kerja lapangan. Mereka turut terlibat dalam program Karnival Agro Siswa (KAS), yang melibatkan pelbagai persatuan pelajar di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPA. Program mobiliti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar Indonesia untuk merasai kehidupan kampus di Malaysia, tetapi juga memperluas jaringan akademik dan sosial mereka.