IMTIAZ Manual Panel Temu Duga Zakat ke Peringkat Antarabangsa

SEGAMAT, 21 September 2023 – Kebiasaan Panel Temu duga Zakat terdiri daripada pelbagai lapisan pengajian khusnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Mereka adalah di kalangan staf pentadbiran juga akademik. Ini bukan satu halangan untuk membantu Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf melicinkan gerak kerja. Malah usaha murni ikhlas menginfakkan tenaga ini adalah suatu jariah yang berpanjangan di akhirat kelak khusus membantu mahasiswa meneruskan kelangsungan hidup di kampus. Untuk memantapkan lagi ilmu dan kewibawaan sebagai seorang panel, mereka perlu mendalami ilmu.

Antara inisiatif Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM Cawangan Johor dengan menerbitkan satu manual yang didaftarkan di bawah nombor piawaian antarabangsa (International Standard Book Number-ISBN) untuk kegunaan dan panduan Panel Temu duga Zakat. Manual ini telah dilancarkan oleh Rektor UiTM Cawangan Johor, Professor Madya Dr. Saunah Zainon pada 10 Ogos 2023. Manual ini juga mendapat maklum balas yang positif dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semasa lawatan balas kunjung hormat ke UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Walaupun mungkin dianggap enteng namun dapat dikongsi hingga ke peringkat antarabangsa.

Permusafiran bermula 18 hingga 20 September ke Negara Brunei Darussalam memberi impak dan tambahan ilmu. Dengan berkunjung dan berkongsi ilmu di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dapat dikogsikan manual kecil ini juga semasa Kunjungan Hormat Ke Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam kepada Tuan Ariffin bin Dato Paduka Haji Abu Bakar. Menurut beliau, mereka juga mempunyai satu manual zakat yang dalam proses untuk diterbitkan.

Alhamdulillah pada 21 September 2023 permohonan Bantuan Zakat Pelajar telah dibuka dan manual ini dapat digunakan oleh Panel Temu duga Zakat UiTM Cawangan Johor khasnya dan telah dipertandingkan ke peringkat antarabangsa dalam International Exhibition & Symposium On Productivity, Innovation, Knowledge & Education (i-SPiKE 2023) dengan memenangi Pingat Emas. Walaupun usaha ini nampak kecil namun mudahan serba sedikit dapat meningkatkan kualiti pengurusan serta pertambahan budaya ilmu dikalangan warga UiTM khususnya dan masyarakat amnya. Tidak dinafikan kekurangan itu akan timbul dan akan diperbaiki dari masa ke semasa atas cadangan, sokongan dan dorongan semua pihak.