ILHAM//19 papar hasil seni anak tempatan

Pengarah Hijjas Kasturi, Ar Hijjas Kasturi (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Yahya (dua kiri), Timbalan Dekan Fakulti Senilukis & Senireka UiTM, Dr Jamil Md Esa (kiri) melihat lukisan Prof Bersekutu Jailani Abu Hasan (dua kanan) pada majlis perasmian Pameran ILHAM //19 di Galeri Prima, Balai Berita. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Galeri Prima memeterai kerjasama dengan sekumpulan pensyarah Fakulti Seni Reka dan Seni Lukis dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menganjurkan pameran ILHAM //19.

Diasaskan sejak 1987, tema bagi pameran karya oleh penggiat akademik itu kini melebarkan sayapnya ke Jalan Riong dengan menyajikan 140 hasil seni merangkumi rangkaian disiplin seperti reka industri, tekstil, fesyen, teknologi cetakan, seramik, reka grafik dan seni halus.

Pengasas bidang seni bina negara, Hijjas Kasturi, menyifatkan pameran hasil karya golongan akademik masa kini semakin berkembang dan diterima ramai, selari peredaran semasa, sekali gus wajar menjadi kebanggaan serta aset Malaysia.

Antara koleksi hasil seni yang dipamerkan di Pameran ILHAM //19 di Galeri Prima, Balai Berita. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menyingkap kenangan silam, Hijjas berkata, peluang melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di University of Adelaide pada 1960 dan University of Melbourne pada 1965 selepas ditawarkan biasiswa oleh kerajaan Australia adalah pengalaman yang sukar digambarkan.

Meskipun dilahirkan di Singapura, beliau memilih untuk mencurah bakti dalam menerajui bidang pendidikan seni bina di Malaysia selepas mendapat sokongan daripada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selepas menamatkan pengajian di Australia.

Mengharungi pelbagai cabaran, Hijjas akhirnya berupaya menubuhkan pusat pengajian seni pertama Institut Teknologi MARA (ITM) yang ketika itu hanya berbekalkan kudrat enam tenaga pengajar untuk mendidik 43 penuntut kumpulan pertama.

“Boleh dikatakan, saya terajui usaha penubuhan pusat pengajian pertama ini secara seorang diri dan melantik pensyarah berpengalaman dari Australia untuk datang ke Malaysia bagi mengendalikan proses pengajaran.

Antara koleksi hasil seni yang dipamerkan di Pameran ILHAM //19 di Galeri Prima, Balai Berita. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

“Selepas berpuluh tahun, hasil daripada titik peluh itu kini ternyata membuahkan hasil apabila bidang seni bina, seni reka dan seni lukis, khususnya di UiTM berkembang pesat serta harus dijadikan kebanggaan bersama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Yushaimi Yahaya; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski dan isterinya, Lynn Allen, serta Pengurus Galeri Prima, Azlynn Aziz.

Pameran ILHAM //19 dibuka untuk kunjungan orang ramai dari 15 April hingga 24 Mei, mulai jam 10 pagi hingga 6 petang. Pameran sepanjang Ramadan bagaimanapun hanya beroperasi dari 10 pagi hingga jam 5 petang. Kemasukan adalah percuma.

Artikel berkaitan:
Art teachers are practicing what they teach at Galeri Prima’s latest exhibition

Oleh: Luqman Arif Abdul Karim
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/554241/ilham19-papar-hasil-seni-anak-tempatan

0
0