SHAH ALAM, 24 JULAI 2023 – Telah berlangsung Pertandingan Akhir dan Majlis Perasmian Penutupan Ikon Muaddib 2.0 yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor pada 7 Julai 2023 bertempat di Business Theatre A, Kompleks Al-Farabi, FPP UiTM Shah Alam. Majlis ini juga telah dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, YBhg. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi serta barisan dekan dan timbalan dekan PTJ yang terlibat.
Fakulti Pendidikan merupakan perintis Program Ikon Muaddib yang telah pertama kali dilaksanakan pada tahun 2021. Kini, Program Ikon Muaddib 2.0 telah berjaya dianjurkan sekali lagi hasil kerjasama erat antara Fakulti Pendidikan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, dan UiTM Cawangan Pahang, dengan sokongan penuh daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM. Sekalung penghargaan juga dirakamkan kepada Bahagian Zakat, Sedekah, dan Wakaf (ZAWAF), UiTM, yang juga turut serta sebagai penaja utama program ini bagi tahun 2023.
YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa program ini merupakan inisiatif penting dalam membentuk dan mengembangkan nilai serta bakat para mahasiswa UiTM. Beliau turut menekankan pentingnya penganjuran program-program yang membentuk mahasiswa yang kompetitif dan kreatif. Beliau juga menjelaskan bahawa program ini sejajar dengan visi UiTM yang menekankan keunggulan akademik serta kecemerlangan bakat dan nilai-nilai kerohanian mahasiswa. Salah satu tujuan utama program ini diadakan adalah untuk melahirkan mahasiswa yang berwibawa, berintegriti, dan memiliki kredibiliti tinggi dalam memikul tanggung jawab sebagai imam dan pemimpin dalam masyarakat. Beliau mengambil kesempatan ini untuk mengungkapkan rasa syukur atas penglibatan mahasiswa UiTM dalam meningkatkan keterampilan dan bakat peribadi melalui program ini.
Pertandingan Akhir Ikon Muaddib 2.0 telah menyaksikan saingan sengit dalam dua kategori oleh 8 finalis yang mempersembahkan ucapan awam bertema dan juga menjawab soalan spontan khusus daripada juri-juri pertandingan. 8 finalis yang berentap di pertandingan akhir akhir ini juga adalah hasil saringan 8 yang terbaik daripada 68 orang peserta keseluruhan. Johan Ikon Muaddib 2.0 telah dinobatkan kepada peserta dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Muhammad Khairul Rasyid Yahya manakala Naib Johan telah disandang oleh saudara Akmal Hasif Sukri yang juga merupakan wakil dari ACIS. Tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta wanita, saudari Izzatul Afnan dari Fakulti Sains Gunaan (UiTM Kampus Jengka). Tahniah diucapkan kepada barisan pemenang dan semua 8 finalis yang telah bertungkus lumus memberikan persembahan yang terbaik semasa pertanding akhir Ikon Muaddib 2.0.
Dengan berakhirnya Majlis Penutupan Ikon Muaddib 2.0, diharapkan program-program seperti ini dapat terus dilanjutkan di masa depan dan disertai oleh lebih banyak pihak untuk membentuk mahasiswa yang mempamerkan keunggulan akademik serta kecemerlangan bakat dan nilai-nilai kerohanian mahasiswa.