IES2021 Anjuran Fakulti Pendidikan UiTM Malaysia dan UIC Filipina

Pada 27 dan 28 September 2021, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama University of the Immaculate Conception (UIC), Filipina, telah menganjurkan International Education Symposium 2021 (IES 2021) yang bertemakan “Fostering Global Mindset Among Young Leaders”. Simposium yang mensasarkan penyertaan pemimpin mahasiswa dari universiti negara-negara Asia Tenggara ini dianjurkan oleh pimpinan pelajar Fakulti Pendidikan UiTM, dengan bimbingan dan panduan para pensyarah penasihat di bawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Pendidikan. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan penyertaan pimpinan mahasiswa dari Brunei, Cambodia, Indonesia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan tentunya tuan rumah Malaysia.

Objektif utama IES2021 adalah untuk menyediakan pendedahan perspektif global, di samping mengasah kemahiran kepimpinan para pelajar. Program ini juga bertujuan untuk saling mempelajari latar belakang dan budaya peserta-peserta dari pelbagai negara.

Pada hari pertama simposium, satu majlis pelancaran telah diadakan yang telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UiTM. Seterusnya, program telah dimarakkan dengan wacana daripada Dr. Norazah Abdul Aziz yang bertajuk, “Leaducation: The Concept of Precise Leadership.” Dr. Norazah merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, UiTM. Selepas waktu rehat tengahari, Dr. Djoko Santoso dari Universitas Airlangga, Indonesia, menyambung sesi dengan pembentangan yang bertajuk “Education vs Covid-19: Approach Affects Students’ Performance.”

Hari kedua symposium menyediakan perbincangan yang sangat menarik oleh Mr. Rene M. Babiera II dari University of the Immaculate Conception (UIC), Filipina. Tajuk yang difokuskan adalah “Leadership: An Agile Mindset for a Digital Future.” Seterusnya, penceramah jemputan terakhir, Dr James McLellan dari Universiti Brunei Darussalam membincangkan tajuk yang amat menarik, “Cultivating a Global Mindset through “Being-Decentred.”

Simposium ini diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Dr. Lolly Jean C. Simbulas, Dekan Kolej Pendidikan Guru, UIC. Turut menyerikan majlis ialah Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan; barisan pengurusan kanan serta staf akademik Fakulti Pendidikan, staf akademik UIC dan peserta-peserta program. Secara keseluruhan, program ini berjalan dengan lancar dan telah dimanfaat oleh pelbagai pihak khususnya para pelajar. Diharap simposium ini menjadi satu titk permulaan yang akan diteruskan lagi pada tahun akan datang.