Bersempena dengan Karnival Jom Masuk U (Zon Tengah) yang berlangsung di UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar pada 4 dan 5 Mei, 2024, terdapat pelbagai pameran yang menyasarkan golongan lepasan SPM, STPM yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Pameran tersebut turut disertai oleh pelbagai pihak sebagai pempamer khususnya institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi mempromosikan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi masing-masing.
Istimewanya kali ini, pihak UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar selaku Tuan Rumah telah menjemput figura ikonik dalam industri fesyen, pereka fesyen terkemuka Malaysia, Hatta Dolmat sebagai tetamu jemputan bagi slot perkongsian. Bagai sireh pulang ke gagang, Hatta Dolmat yang hadir dengan busana unik juga merupakan salah seorang alumni UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.
Kehadiran Hatta Dolmat ke karnival ini telah menarik perhatian para pengunjung termasuklah para pelajar jurusan fesyen dari Kolej Pengajian Seni Kreatif yang setia menanti kehadiran beliau beberapa jam sebelum beliau dijadualkan untuk membuat sesi perkongsian. Hal ini menunjukkan keterujaan para pelajar untuk bertemu idola mereka dalam bidang fesyen dan seni reka.
Para pelajar jurusan fesyen yang hadir bergaya dan bersemangat untuk berjumpa Hatta Dolmat turut membawa hasil lakaran untuk ditandatangani oleh idola mereka, Hatta Dolmat. Sedikit sebanyak perkongsian pengalaman yang dibuat oleh Hatta Dolmat memberi inspirasi kepada mereka dalam menceburkan diri dalam bidang fesyen. Semasa sesi soal jawab, pelbagai soalan diajukan oleh para pelajar khususnya berkaitan pengembangan idea serta tips untuk mendapatkan ilham dan inspirasi.
Hatta Dolmat yang mempelopori fesyen mesra alam turut dilihat tidak lokek memberikan pandangan, bimbangan dan nasihat kepada peminat-peminat yang ingin mengikut jejak langkah beliau. Semua soalan dijawab dengan senyuman. Sesi perkongsian yang berlangsung selama lebih kurang satu jam setengah diakhiri dengan sesi bergambar. Bagi para pelajar tersebut, sesi perkongsian bersama Hatta Dolmat ini mungkin merupakan salah satu momen paling indah sepanjang pengajian mereka dan mungkin akan kekal dikenang sepanjang hidup.