IDL+C 2024: Sinergi Antarabangsa Melibatkan UiTM dan Pakar Industri Reka Bentuk Dalaman Indonesia

PUNCAK ALAM, 23 OGOS 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama erat Himpunan Desainer Interior Indonesia (HDII) Jakarta, telah menganjurkan International Design Lab & Collaboration (IDL+C) 2024, sebuah program yang menyatukan pakar reka bentuk dalaman terkemuka dari Malaysia dan Indonesia. Bermula pada 5 Ogos dan berakhir pada 24 Ogos 2024, program ini meneruskan kejayaan edisi pertama IDL+C yang diadakan secara atas talian pada tahun 2021 dengan tema ‘Titik-Temu’.

Dalam ucapannya, YBrs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM, menyatakan bahawa IDL+C 2024 memainkan peranan penting dalam menghimpunkan pelbagai golongan termasuk pelajar, pensyarah, alumni, ahli akademik, dan pakar industri dari kedua-dua negara. Menurutnya, program ini bukan sahaja selaras dengan visi UiTM Globally Respected University, Locally Rooted. Beliau turut menekankan harapannya agar program ini menjadi pendorong kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, serta menjadi inspirasi kepada generasi muda.

Mengangkat tema ‘Pertemuan’, edisi kedua IDL+C ini menekankan kolaborasi dan penggabungan idea serta bakat dalam menghasilkan inovasi reka bentuk. Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk Pertandingan Modular Bamboo Sculpture, bengkel reka bentuk buluh, webinar antarabangsa bersama pakar industri, bengkel penulisan projek penyelidikan, Podcast Reka Bentuk, serta lawatan seni bina dan reka bentuk di sekitar Kuala Lumpur.

IDL+C 2024 berjaya mengumpulkan lebih 200 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar dari enam institusi pengajian tinggi Indonesia, pensyarah sebagai mentor, dan alumni UiTM. Panel penceramah bagi program webinar dan podcast terdiri daripada pakar industri yang berpengalaman dalam reka bentuk buluh di peringkat antarabangsa, manakala panel hakim untuk Pertandingan Modular Bamboo Sculpture pula terdiri daripada pereka terkenal dan perintis industri reka bentuk dalaman di Malaysia, yang kebanyakannya merupakan alumni UiTM yang disegani.

Sejajar dengan ASEAN Socio-Cultural Community Blueprint 2025, IDL+C 2024 bukan sahaja mempromosikan kelestarian alam sekitar dan budaya serumpun, tetapi juga mendorong kerjasama rentas sempadan dalam pendidikan, menjadikannya platform penting untuk inovasi dan kolaborasi dalam bidang reka bentuk dalaman.