Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) telah menganjurkan Bengkel Universiti Maya selama tiga hari berturut-turut pada 28 hingga 30 Mac 2022 bertempat di Hotel HIG, Langkawi Kedah.
Tiga pusat tanggungjawab telah dilantik untuk menerajui perlaksanaan Universiti Maya ini yang terdiri daripada Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Pusat Asasi.
Dalam mencapai kompetensi global, Universiti Maya atau namanya ‘UiTM Virtual’ merupakan salah satu elemen penting bagi mencapai matlamat yang digariskan dalam GRU 2025. Projek ini adalah cetusan ilham daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts Dr. Hajah Roziah Janor menerusi Amanat Naib Canselor pada 26 Januari 2022 yang lalu dimana matlamatnya untuk merealisasikan aspirasi UiTM menuju HyFlex Learning. Bengkel ini bertujuan menyediakan ruang perbincangan yang komprehensif dan terbuka dalam kalangan profesional bagi menghasilkan satu kerangka universiti maya yang praktikal dan holistik.
Bengkel ini turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif iCEPS Prof Dr. Azizul Halim bin Yahya, Pengarah Pusat Asasi Prof Ts Dr Saifollah Hj Abdullah, Dekan FSKM Prof Ts Dr Haryani Haron serta pensyarah-pensyarah terpilih daripada pelbagai fakulti.