PUNCAK ALAM – Seramai 13 orang ahli jawatankuasa, 2 koordinator, 2 penceramah jemputan dan 50 orang peserta terlibat dalam menjayakan program I.N.S.E.C.T. (Insects National Science Education using Creativity and Technology) bagi sesi ketiga. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam melalui platform Google Meet yang dirasmikan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan Kampong Endah iaitu Puan Hajah Komariyah binti Ruslan.
Program ini merupakan kolaborasi antara Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan dengan Society of Parasitology and Tropical Medicine (MSPTM) berserta pelajar Ijazah Sarjana Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Objektif bagi program ini adalah untuk menilai pengetahuan, keberkesanan, sikap dan amalan murid-murid terhadap serangga sebelum dan selepas program I.N.S.E.C.T. dijalankan. Melalui program ini, murid sekolah rendah lebih mengetahui mengenai jenis serangga berkepentingan perubatan, perkara asas tentang serangga seperti kitaran hidup serangga, bahagian badan serangga dan fungsi serangga kepada manusia dan alam sekitar.
Penceramah yang dijemput merupakan Prof. Madya Dr. Heo Chong Chin, pensyarah kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sungai Buloh dan Pengarah Institute of Medical Molecular Biotechnology (IMMB) dan turut disertai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Kampus Puncak Alam dan merupakan koordinator bagi program ini.
Pengarah program, Muhammad Hakim bin Haseri berkata, program sebegini sangat diperlukan untuk mendedahkan dan menambahkan pengetahuan para pelajar mengenai serangga. Beliau berharap agar semua peserta dapat berkongsi ilmu yang diperoleh kepada masyarakat sekeliling. “Selain itu, diharapkan semua ahli jawatankuasa yang terlibat dapat mempelajari cara pengurusan program yang efektif dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi supaya dapat menaikkan nama MELTECH serta UiTM sebagai salah sebuah universiti yang mementingkan pembinaan soft skills dalam kalangan mahasiswa.” katanya.