I.N.S.E.C.T. (Insects National Science Education using Creativity and Technology) Sesi 2

PUNCAK ALAM – Pada tanggal 28 Mei 2022, Program I.N.S.E.C.T. Sesi 2 (Insects National Science Education using Creativity and Technology) anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), dan Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan secara atas talian menerusi aplikasi Google Meet. Program ini berlangsung dengan penglibatan seramai 12 orang ahli jawatankuasa serta 2 koordinator, 2 penceramah jemputan dan 50 orang peserta dari Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Kuala Selangor. Perasmian Program I.N.S.E.C.T. sesi 2 ini telah dilakukan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Kuala Selangor iaitu Puan Zakiah Binti Haji Daud.

Program ini dijalankan oleh Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) dengan kerjasama Malaysian Society of Parasitology and Tropical Medicine (MSPTM) dan pelajar Ijazah Sarjana Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertujuan untuk memberikan pengetahuan kepada murid sekolah rendah mengenai serangga berkepentingan perubatan serta perkara asas tentang serangga seperti bahagian badan serangga, kitaran hidup serangga dan fungsi serangga kepada manusia dan alam sekitar. Penilaian terhadap pengetahuan murid sekolah rendah mengenai serangga juga dilakukan sebelum dan selepas program bagi mengkaji tahap keberkesanan program.

Penceramah jemputan terdiri daripada Prof. Madya Dr. Heo Chong Chin, pensyarah kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sungai Buloh dan pengarah Institute of Medical Molecular Biotechnology (IMMB), dan turut disertai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri yang berkerjaya sebagai pensyarah kanan di Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam dan koordinator bagi program ini.

Sepanjang program berlangsung, terdapat tiga sesi yang telah dijalankan. Program dimulakan dengan sesi yang pertama iaitu sesi bilik darjah. Sesi ini dikendalikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri dengan perkongsiannya yang bertajuk “Entomologi” dan disertai dengan perkongsian daripada Prof. Madya Dr. Heo Chong Chin yang bertajuk “Serangga dan penyakit”. Sesi soal jawab dijalankan selepas selesai perkongsian daripada kedua-dua penceramah jemputan tersebut. Selepas itu, sesi kedua diteruskan iaitu sesi demonstrasi berkaitan teknik asas dalam mengumpul dan memproses serangga. Sesi ketiga iaitu sesi bermain sambil belajar telah berjaya dijalankan oleh para fasilitator bersama peserta. Sesi ini terdiri daripada lima stesen permainan iaitu stesen 1 – Lari!, stesen 2 – Terbang!, stesen 3 – Imej Holografi Serangga, stesen 4 – Bina Kraftangan Serangga dan stesen 5 – Pilih Serangga yang Betul.

Pengarah program, Muhammad Hakim bin Haseri berkata, program I.N.S.E.C.T. merupakan program yang bermanfaat kepada murid dalam memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai serangga. Oleh itu, beliau berharap agar program sebegini dapat diperbanyakkan dan diperhebatkan lagi bagi membentuk suatu komuniti yang celik tentang serangga. Harapan beliau kepada murid yang terlibat adalah agar mereka dapat berkongsi ilmu yang telah mereka peroleh kepada masyarakat, terutamanya tentang serangga berkepentingan perubatan seperti nyamuk Aedes dan Anopheles.

“Selain itu, semua ahli jawatankuasa yang terlibat diharapkan dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mengendalikan sesebuah program dengan lebih efektif agar dapat mengharumkan nama MELTECH serta UiTM. Hal ini seiring dengan usaha untuk memperkenalkan UiTM sebagai salah sebuah universiti yang menitikberatkan pembinaan soft skills dalam kalangan mahasiswa.” katanya.