PUNCAK ALAM – Program I.N.S.E.C.T. (Insects National Science Education using Creativity and Technology) Sesi 1 anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan melalui platform Google Meet. Seramai 13 orang ahli jawatankuasa serta 2 koordinator, 2 penceramah jemputan dan 50 orang peserta terlibat dalam menjayakan program ini. Program I.N.S.E.C.T. bagi sesi 1 ini telah dirasmikan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan Sri Langat iaitu Encik Ruslan bin Lebai Yakub.
Program ini merupakan usaha Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) dengan kerjasama Malaysian Society of Parasitology and Tropical Medicine (MSPTM) dan pelajar Ijazah Sarjana Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menilai pengetahuan murid sekolah rendah tentang serangga berkepentingan perubatan dan beberapa perkara asas tentang serangga seperti bahagian badan serangga, kitaran hidup serangga dan fungsi serangga kepada manusia dan alam sekitar sebelum dan selepas program I.N.S.E.C.T. dijalankan.
Penceramah yang dijemput merupakan Prof.Madya Dr. Heo Chong Chin, pensyarah kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARACawangan Sungai Buloh dan pengarah Institute of Medical Molecular Biotechnology (IMMB), dan turut disertai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam dan koordinator bagi program ini.
Pengarah program, Muhammad Hakim bin Haseri berkata, program sebegini amat diperlukan untuk memberikan pendedahan dan menambahkan pengetahuan para pelajar berkaitan serangga. Beliau juga berharap agar para pelajar dapat berkongsi ilmu yang mereka peroleh kepada masyarakat, terutamanya tentang langkah mencegah penularan penyakit akibat serangga.
“Selain itu, diharapkan semua ahli jawatankuasa yang terlibat dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan menguruskan program dengan lebih efektif agar dapat mengharumkan nama MELTECH serta UiTM. Hal ini sejajar dengan usaha kita untuk memperkenalkan UiTM sebagai salah sebuah universiti yang mementingkan pembinaan soft skills dalam kalangan mahasiswa.” katanya.