i-LEAD2YOUTH @ UiTM Shah Alam Terima Penyertaan Lebih 2,500 Mahasiswa UiTM

26 Oktober 2022 – Shah Alam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) dengan kerjasama Pusat Kegiatan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan program i-LEAD2YOUTH @ UiTM Shah Alam bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC). Program yang berbentuk forum ini bertujuan bagi memberikan input-input serta pengetahuan umum tentang topik yang telah dibincangkan kepada belia masa kini. Dalam pada itu, program ini merupakan salah satu inisiatif dalam menyediakan platform untuk menambahkan keyakinan dan potensi diri anak muda sekaligus memberikan pendedahan tentang peranan mereka sebagai belia dalam mencorak masa depan negara.

Sesi forum yang bertajuk “Upgrade Your Confident” ini telah mengumpulkan barisan moderator dan panel-panel yang berpengalaman iaitu Encik Syahrudin Hanib sebagai moderator, Datin Rita Sosilawati sebagai panel 1 dan Encik Hafiz Mustapha sebagi panel 2. Program yang berdurasi selama tiga jam ini juga telah dihadiri oleh Tuan Haji Mohd Haswandi Haji Ahmad, Ketua Pengarah i-LEAD, Dr. Shahsuzan Zakaria, Pengarah Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM, Encik Mohd Hasri Mohd Hadzir, Pengarah Kluster Modal Insan i-LEAD dan barisan Pengurusan Eksekutif BHEP UiTM.

Antara intipati yang telah dibincangkan dalam sesi forum ini termasuklah pengetahuan berkaitan elemen imej, kepimpinan, kesukarelawanan dan sebagainya. Selain itu, mahasiwa juga telah diterapkan dengan peranan serta tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan pembangunan negara. Pendedahan ini penting bagi melahirkan belia yang bersiap siaga dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan jati diri mereka dalam menjadi belia yang holistik berdasarkan inspirasi dan pendedahan motivasi kepada mereka. Di samping itu, barisan panel juga telah mengupas dan membincangkan aspek keyakinan diri dalam kalangan anak muda serta kepentingan belia dalam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana belia merupakan tonggak pembangunan negara pada masa akan datang.

Program forum anjuran i-LEAD KBS dengan kerjasama BHEP UiTM ini secara tidak langsung telah memberikan impak yang positif dalam kalangan mahasiswa UiTM apabila lebih 2,500 mahasiswa UiTM telah menyertai program ini. Secara tidak langsung, penglibatan mereka telah menjadi kayu ukur KBS dalam mempertingkatkan program berkaitan belia pada masa akan datang. Dengan adanya program sebegini, mahasiswa dapat memanfaatkan pengetahuan dan idea yang diperoleh dengan menerapkannya dalam kehidupan seharian bagi meningkatkan kemahiran kendiri serta tanggungjawab belia dalam pembangunan negara. Secara keseluruhannya, program anjuran i-LEAD KBS dengan kerjasama BHEP UiTM ini sememangnya dapat melahirkan belia yang berilmu, berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi serta mempunyai penghayatan nilai-nilai murni yang menyeluruh.