Serendah, 29 Jun 2024 – Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, buat sekalian kalinya mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (University Social Responsiblity – USR) dan Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program – KTP) bertempat di Asrama Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan, Serendah, Selangor. Program yang bertemakan “FPHP Peduli: Tetaplah memberi, Walaupun sedikit” ini telah berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Program ini ditaja oleh HEXA Sinar Sdn. Bhd.
Program yang disertai 40 pelajar dan 10 pensyarah dari FPHP ini, menyantuni 106 anak yatim dan asnaf dalam pelbagai aktiviti bermanfaat yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Antara aktiviti pemindahan ilmu yang dilaksanakan merangkumi aktiviti memasak serta penyediaan makanan, pengemasan bilik dan katil, pembersihan tandas, etika di meja makan dan persiapan meja makan bagi acara rasmi. Selain itu, ceramah motivasi diadakan pada sebelah malam yang disampaikan oleh Profesor Dr. Mohd Hafiz Mohd Hanafiah. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan oleh mahasiswa dan mahasiswi dari kelab dalaman fakulti, antaranya, Kelab School of Hotel and Catering Management (SHOCAM), Bakers Club, dan MARA Youth Tourism Association (MYTA). Program ini dipantau oleh pensyarah-pensyarah fakulti.
Pengarah program, yang juga penasihat kepada Kelab SHOCAM, En. Hazmal Ismail, menyatakan bahawa program ini bukanlah program menyantuni anak yatim dan asnaf yang biasa. Ia merupakan program ’Knowledge Transfer’ dan ’USR’ yang berimpak. “Kami berharap usaha kecil pemindahan ilmu ini dapat memberi impak besar kepada anak yatim dan asnaf dalam menguruskan diri mereka di asrama, serta memupuk kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi UiTM,” katanya.
Aktiviti yang bermula seawal 8.00 pagi ini berlangsung sepanjang hari dengan semangat yang tinggi dalam kalangan anak yatim dan asnaf. Penekanan diberikan kepada pengemasan bilik, katil dan kebersihan tandas yang bukan sahaja bertujuan untuk menceriakan suasana tetapi juga untuk mendidik anak yatim dan asnaf mengenai pentingnya kebersihan dan keteraturan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, sesi etika di meja makan memberi pendedahan praktikal kepada anak yatim dan asnaf mengenai tatacara dan adab dalam majlis rasmi, yang merupakan pengetahuan penting pada masa hadapan.
Sesi ceramah pada sebelah malamnya pula, memberi penerangan tentang hala tuju anak yatim dan asnaf ini setelah menamatkan sekolah menengah, di samping memberi motivasi kepada anak yatim dan asnaf ini untuk menempah kejayaan dan membina kerjaya kelak.
Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam menggalakkan mahasiswa-mahasiswi untuk sentiasa memberi dan membantu walaupun dalam kapasiti yang kecil. Usaha gigih dan komitmen para peserta program ini diharap dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai individu dan institusi untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan seumpamanya.
Program yang berakhir pada pukul 10.00 malam ini menutup tirainya dengan sesi refleksi dan penghargaan kepada semua yang terlibat, sekaligus menandakan kejayaan Program ’Hospitality Hands 4’ dalam mencapai matlamatnya. Sumbangan disampaikan oleh Dekan FPHP, Profesor Madya Dr. Norzuwana Sumarjan kepada Pengetua Wisma Kasih yang berupa bahan dapur dan beras.