Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Menawarkan Perkhidmatan Perubatan Dan Penjagaan Kesihatan Bertaraf Global

SELANGOR, 23 JUL 2022– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkenan mencemar duli merasmikan Hospital Al-Sultan Abdullah (dahulu dikenali sebagai Hospital UiTM Puncak Alam), hari ini.

Turut berangkat ke UiTM sempena perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sebagai sebuah universiti awam terbesar dalam negara, UiTM kini menyediakan pendidikan tinggi bertaraf dunia kepada anak bangsa. Hospital Al-Sultan Abdullah di Puncak Alam yang berkeluasan seluas 46 ekar ini siap dibina pada tahun 2020 dengan mengetengahkan reka bentuk binaan bangunan yang berinspirasikan elemen molekul air zam-zam (khasiat dan penawar pelbagai penyakit). Ia kini menjadi mercu tanda baharu UiTM dengan menawarkan perkhidmatan rawatan dan kesihatan kepada hampir 1.5 juta rakyat di Selangor dan Perak Selatan. Selain itu, hospital ini turut menawarkan kepakaran kepada hospital daerah dan komuniti setempat.

Berteraskan visi untuk menjadi sebuah Hospital Premier di rantau Asia Tenggara, Hospital Al-Sultan Abdullah ini dilengkapi dengan fasiliti terkini meliputi 400 buah katil di samping bangunan akademik dan perubatan yang boleh memuatkan sehingga 750 orang pelajar. Hospital ini juga dilengkapi dengan pelbagai kepakaran dan subkepakaran berteknologi tinggi yang menawarkan perkhidmatan perubatan yang moden dan canggih untuk pesakit. Antara perkhidmatan yang bakal disediakan ialah rawatan kecemasan, trauma dan kritikal, perubatan dalaman, kardiologi, pembedahan am, plastik dan rekonstruksi, serta kardiotorasik, ortopedik, rawatan untuk ibu hamil, bayi, remaja dan orang dewasa. Selain itu, ia juga menawarkan perubatan onkologi, geriatrik, forensik, kesihatan mental, rehabilitasi serta dialisis.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, UiTM bukan sahaja menyediakan pendidikan tinggi kepada anak bangsa, malah UiTM sentiasa komited ke arah melahirkan graduan profesional bumiputera dalam pelbagai bidang dan disiplin termasuklah dalam bidang perubatan. Selain bertujuan untuk memartabatkan sistem pendidikan perubatan di Malaysia, aspirasi ini dapat memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dalam bidang berkenaan. Beliau juga yakin kewujudan dan pengoperasian hospital universiti ini akan membuktikan bahawa UiTM mampu melangkah lebih jauh khususnya dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan melalui inovasi dan aktiviti penyelidikan yang berterusan.

Turut hadir dalam majlis perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah adalah Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Menteri Kewangan, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.

Seluruh warga UiTM merafak sembah dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor yang berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah.