HONOR Talents 2024 Global Design Awards: Kesinambungan Pencapaian Bakat Seni Digital Mahasiswa Bidang Grafik, KPSK UiTM

PUNCAK ALAM, 12 Disember 2024 – Bidang Grafik dan Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, telah menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah untuk Pertandingan HONOR Talents Global 2024 Design Awards di Galeri Seni B KPSK. Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Bidang Grafik, Puan Fazlina Jaafar, dan Timbalan Pengarah HONOR Malaysia, Encik Matthew Ng, serta dihadiri oleh pensyarah, ibu bapa, dan pelajar dari UiTM cawangan Kedah dan Melaka.

Pertandingan HONOR Talents 2024 Global Design Award merupakan acara seni reka antarabangsa yang dianjurkan oleh syarikat teknologi HONOR, berpusat di Shenzhen, China. Sejak dilancarkan pada tahun 2020, pertandingan ini telah menarik lebih 25,000 penyertaan daripada 240 kolej dan universiti di 47 negara. Tahun ini menandakan kerjasama ketiga antara HONOR Malaysia dan KPSK, UiTM Puncak Alam.

Hadiah bagi pertandingan kali ini merangkumi sijil dan produk peranti serta aksesori digital dengan nilai keseluruhan RM27,000. Karya pemenang juga berpotensi untuk diintegrasikan ke atas rangkaian produk terbaharu HONOR. Pertandingan ini berlangsung dari 27 Mei hingga 30 September 2024, dengan 130 penyertaan diterima terutamanya daripada pelajar dalam bidang Grafik.

Sebanyak 18 pemenang telah diumumkan, dengan Aina Najwa Nazim dari UiTM Kedah meraih Hadiah Utama. Tempat Kedua dimenangi oleh Erikka Rozi dan Nadhirah Mohd Hishamuddin, sementara tempat Ketiga dimiliki oleh Jerome Nicolass Ajack dan Nurul Asyiqin Mohd Zin. Senarai pemenang juga termasuk pemenang saguhati dan Best Talents Awards dari pelbagai cawangan UiTM.

Selain sesi penyampaian hadiah, majlis ini juga menampilkan pameran karya-karya pemenang yang mencerminkan mutu hasil kerja digital dan bakat kreatif mahasiswa. Karya tersebut menggunakan elemen kebudayaan tempatan, termasuk haiwan, motif batik, makanan, dan lanskap, serta beberapa karya yang menggabungkan elemen tempatan dan China seperti Panda dan kaligrafi.

Penganjuran pertandingan ini adalah inisiatif berterusan oleh KPSK, UiTM Puncak Alam, dalam mendokong visi dan misi UiTM untuk menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang tahun 2025 (GRU2025), sekaligus memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan industri antarabangsa.

Oleh: Mohd Faizol Haini, Ezal Daud, Fazlina Jaafar