Bertarikh 20 Mei 2022 yang lalu, Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA) UiTM Cawangan Pahang (UiTMCP) telah menganjurkan program “Heart-To-Heart Podcast Episode 2: I Survived”. Program ini telah berlangsung selama 1 jam 15 minit bermula pada pukul 8.45 malam dan berakhir pada pukul 10.00 malam. Program podcast episod 2 ini telah berlangsung di platform Instagram live PERSIDA UiTMCP.
Program ini telah dijayakan bersama oleh dua orang moderator, Cik Ishra Damia binti Ismail dan Cik Nor Aina Batrisyia binti Sanusi, dengan kehadiran tetamu jemputan Cik Norhaslina binti Abd Hamid yang merupakan seorang pejuang Major Depressive Disorder with Psychosis & Borderline Personality Disorder. Tetamu jemputan yang berusia 25 tahun itu juga merupakan penuntut di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Pengalaman beliau sebelum ini telah mendapat liputan meluas daripada pihak media dan sesi perkongsian pengalaman tersebut pernah disiarkan menerusi TV Alhijrah dan TV3.
Objektif podcast episod 2 ini adalah untuk menambah pengetahuan pelajar tentang pengalaman seorang remaja yang pernah mengalami penyakit kemurungan yang kronik. Melalui podcast pada episode kali ini juga, pelajar memperoleh nasihat dan tips yang bermanfaat daripada tetamu jemputan mengenai cara untuk mengatasi kemurungan, jika terjebak. Selain itu beliau turut memberi motivasi kepada pelajar yang mengalami masalah yang sama berkaitan pembelajaran mereka.
Sambutan yang diterima terhadap program podcast ini sangat memberangsangkan dimana penyertaan seramai 185 peserta telah berjaya direkodkan di Instagram live. Kebanyakan para peserta adalah terdiri daripada pelajar dan staf UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Melalui program ini, Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah menyahut Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan. Secara khususnya, terdapat 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang turut merangkumi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.