Health Science Championship (HSC) 2021

UiTM Kampus Puncak Alam , 1 sehingga 3 Oktober 2021 – Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan sesi 2020/2021 telah mengadakan program Health Science Championship (HSC) 2021 di mana program ini merupakan program perlawanan E-Sport pertama yang telah dijalankan oleh Fakulti Sains Kesihatan sejajar dengan kemajuan teknologi yang pesat dalam bidang sukan elektronik. Di samping itu, tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk menonjolkan diri dan mengembangkan bakat mahasiswa dalam bidang sukan E-Sport dan seterusnya mewujudkan semangat daya saing secara sihat dalam kalangan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan serta memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengurangkan tekanan diri yang dihadapi sewaktu Pendidikan Jarak Jauh Terbuka (Open Distance Learning).

Seramai 52 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan telah terlibat sepanjang program ini berlangsung. Program ini disertai oleh 7 orang peserta bagi permainan Active Arcade, 15 orang peserta bagi permainan Valorant dan 30 orang peserta bagi permainan Mobile Legends yang kesemuanya terdiri daripada persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan. Program ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan aplikasi yang berbeza bagi setiap permainan seperti Mobile Legends Application, Active Arcade Application dan Valorant Application.

Pencarian peserta dan caster bermula pada 25 sehingga 30 Oktober 2021 melalui sebaran Google Form bagi proses pendaftaran. Pada 1 Oktober 2021, program ini didahului dengan permainan Active Arcade disusuli dengan permainan Mobile Legends dan Valorant pada keesokan harinya. Pada 3 Oktober 2021 pula, perlawanan akhir bagi permainan Mobile Legends dan Valorant telah diadakan secara siaran langsung menerusi Facebook Live Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan dan ia mendapat sambutan yang hangat kerana telah dihadiri oleh 73 orang penonton bagi permainan Valorant dan 63 orang penonton permainan Mobile Legends. Para penonton telah memberi galakan dan semangat kepada peserta yang berjaya memasuki perlawanan akhir di ruangan komen tersebut. Pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan untuk menonjolkan bakat dalam diri mereka malah, program ini juga berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap permainan video games.

Seterusnya, program Health Science Championship (HSC) 2021 ini dapat menyihatkan tubuh badan melalui aktiviti fizikal dalam permainan Active Arcade. Bukan itu sahaja, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa yang berbakat untuk berkecimpung dalam bidang sukan E-sport yang diminatinya dan seterusnya dapat melonjakkan nama baik universiti.

Akhir kata, Fakulti Sains Kesihatan mampu bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi dan melahirkan mahasiswa yang proaktif, dengan adanya program seperti ini lagi pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana sukan permainan E-sport ini merupakan era baharu yang kian membangun dan sudah diiktiraf di peringkat global. Di samping itu, program ini mampu untuk melahirkan para mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan yang mampu untuk menyertai pelbagai bidang selain daripada bidang akademik semata-mata selain juga dapat merapatkan ukhwah mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan kerana mahasiswa tidak dapat berjumpa secara bersemuka antara satu sama lain dan program ini juga menjadi satu platform untuk memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa.