Hayrat Relief Malaysia Taja Majlis Iftar Pelajar UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka) Pada Bulan Ramadhan 2022

Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dengan Kerjasama Jawatankuasa Kerohanian Pelajar, Hal Ehwal Pelajar (HEP) & Gabungan Fakulti, UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka) telah mengadakan program “Iftar Pelajar UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka) bersama Hayrat Relief Malaysia dan Warga Emas 2.0” pada 26 April 2022 (Selasa) bertempat di Dewan Indera Segara (DIS), UiTM Cawangan Pahang. Seramai 250 orang terlibat secara langsung dalam program ini iaitu 180 orang pelajar terdiri daripada barisan kepimpinan pelajar, pelajar asnaf dan pelajar terpilih mewakili setiap fakulti, dua puluh (20) orang warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Bandar Jengka, para pensyarah dan staf. Selain itu, Webinar Ramadhan yang bertajuk Hikmah Di Sebalik Ramadhan telah diatur sebelum program iftar, terbuka kepada warga kampus UiTM Cawangan Pahang secara maya yang disampaikan oleh Presiden Hayrat Relief Malaysia, Ustaz Sadiq Ozata.

Program iftar pelajar telah dihadiri oleh Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof Madya Dr. Hjh Nazirah binti Ramli, Menjalankan Tugas Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, En. Mohd Faizal Azrul bin Muhamad @ Che Harun, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Profesor Dr Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) yang lain. Majlis ini turut dihadiri Ketua Pusat Pengajian, ACIS Dr Hj Asjad Mohamed selaku penasihat program dan Ketua-ketua Pusat Pengajian dari Kampus Jengka.

Penaja utama majlis iftar ini ialah Hayrat Relief Malaysia yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar, berorientasikan kebajikan dan pendidikan bekerjasama dengan Yayasan Hayrat Turki dan Persatuan Hayrat Bantuan Kemanusiaan Turki (Hayrat Insani Yardim) sebuah NGO yang berpusat di Istanbul dengan jaringan operasi dan kerjasama di lebih 45 buah negara di seluruh dunia. Program ini merupakan kesinambungan program Kolaborasi Antarabangsa UiTM Cawangan Pahang dan Yayasan Hayrat, Turki yang telah diadakan pada 6 Julai 2020, Webinar Antarabangsa Bersiri -Qalbun Rabbani pada 18 Disember 2020 hingga 26 Mac 2021 dan Simposium Adab dalam Pendidikan Pasca Covid-19 pada 11 November 2021.

Antara objektif program iftar ini ialah bagi menghayati Sunnah Rasulullah SAW melalui amalan memberi makan atau sumbangan berbuka puasa kepada para mahasiswa yang merupakan golongan asnaf ibnu sabil di samping memupuk rasa kasih sayang antara pelbagai pihak di kampus dengan pihak Hayrat Relief Malaysia. Di samping itu membina hubungjalin dan kerjasama mahabbah dengan warga emas di Bandar Jengka.