Hatta Dolmat Penerima Pertama Anugerah Ikon Kelestarian FSPPP Sempena ASCAR 2024

SEREMBAN, 16 Mei 2024 – Sempena program Administrative Science Carnival (ASCAR) Sustainability Day 2024, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) telah memberikan penghormatan kepada pereka fesyen tersohor Malaysia yang juga merupakan alumni UiTM iatu Hatta Dolmat sebagai penerima pertama Ikon Kelestarian FSPPP 2024. Penganugerahan tersebut diberikan kepada Hatta Dolmat bagi menghargai sumbangan beliau terhadap usaha penghasilan rekaan fesyen lestari yang pertama di Malaysia semenjak tahun 2015 yang turut telah diabadikan didalam Malaysia Book of Records. 

Anugerah ini telah disampaikan oleh Dekan FSPPP, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith dihadapan 300 orang pengunjung yang turut hadir bagi memeriahkan acara pada hari tersebut. Hatta Dolmat merupakan alumni UiTM Kampus Seri Iskandar Perak dalam pengajian Diploma Fesyen pada tahun 2000 sehingga 2003 dan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen pada tahun 2003 sehingga 2005.

Program yang telah dijayakan oleh Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen bertemakan Sustainable Development Goals (SDG) dan telah dijuri sendiri oleh Hatta Dolmat. Disamping itu, turut diadakan juga adalah pameran SDG Day & Exhibition (DEx) dari agensi berteraskan teknologi hijau dan sektor kerajaan terpilih selain daripada SDG Forum berkaitan kelestarian tenaga boleh diperbaharui yang telah disampaikan oleh En. Faris Anwar Redza Bin Azizul Rahman, alumni AM226.

Program ini telah menyerlahkan kreativiti para pelajar AM226 dalam penghasilan rekaan fesyen bertemakan SDG bagi memenuhi kod kursus EVA630 (Sustainable Development Strategies). Pada masa yang sama ianya telah memberikan impak kepada pencapaian PI diperingkat FSPPP dan UiTM didalam pelaksanaan program pelajar berteraskan kepada Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG). Program ini juga telah berjaya mendapat tajaan sebanyak RM49850 dari SOCAR Mobility Malaysia, EFS Revision Energy, Mary Kay, Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Mokaz It Services dan Malaysian Nature Society (MNS).