HATCHQUEST@UiTM Mencungkil Bakat Inovasi Usahawan Siswa Dalam Mewujudkan Syarikat Pemula

SHAH ALAM, 31 Disember 2024 – Majlis Penutupan HATCHQUEST@UiTM 2024 yang diadakan di Geno Hotel Shah Alam telah menjadi platform penting bagi melahirkan usahawan siswa yang berpotensi dalam bidang keusahawanan teknologi dan inovasi. Program ini merupakan inisiatif anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama MASMED UiTM, bertujuan untuk mendorong dan menggalakkan kecemerlangan dalam dunia Startup. Program ini telah diadakan selama dua hari bermula pada 30 Disember 2024 yang bertujuan untuk memilih wakil UiTM ke HATCHQUEST peringkat kebangsaan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh YBrs. Prof Madya Dr. Badrul Isa, Penolong Naib Canselor Keusahawanan Universiti Teknologi MARA  (UiTM)yang dihadiri oleh Ts. Dr. Nik Roselina Nik Roseley, Pengarah Pusat Keusahawanan Mahasiswa (PKM) MASMED, Ketua-ketua Jabatan, Koordinator-koordinator, wakil-wakil cawangan, dan sepuluh finalis Kumpulan Usahawan Siswa UiTM.

Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian menarik daripada syarikat pemula UiTM, Eagle Attech Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Ts. Nurul Syuhadah Khusaini dengan pembentangan bertajuk “Turning Ideas into Impact: The Startup Journey” yang mengupas perjalanan menarik dalam mengubah idea menjadi kenyataan. Sesi lain yang tidak kurang hebatnya adalah oleh Prof. Madya Ts. Dr. Zulkifli Mohamed yang menerangkan “The Power of Networking: Building Relationships for Success” dalam dunia perniagaan.

Di samping itu, para peserta juga diberikan pendedahan berharga mengenai teknik pembentangan melalui sesi yang disampaikan oleh Pn. Lailatul Faizah Abu Hassan, Koordinator MASMED di Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Puncak Alam. Beliau berkongsi tips dan strategi bagi menghasilkan “Pitch Deck” dan cara bagaimana membentangkan idea perniagaan dengan berkesan.

Program ini berjaya menampilkan Kumpulan Evework dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Matematik (KPPIM) UiTM Shah Alam, dan Kumpulan Hydrocare dari KPPIM UiTM Cawangan Kedah sebagai pemenang. Ahli-ahli daripada dua kumpulan tersebut akan mewakili UiTM dalam pertandingan HatchQuest pada peringkat Kebangsaan yang dijadualkan bakal berlangsung pada bulan Januari 2025.

Program HATCHQUEST@UiTM 2024 ini bukan sahaja telah menjadi wadah kepada para siswa untuk menunjukkan potensi keusahawanan mereka tetapi juga telah memberi pendedahan mendalam mengenai selok-belok dunia perniagaan inovasi dan teknologi. Hal ini merupakan langkah positif dalam membentuk generasi usahawan yang inovatif dan berdaya saing pada peringkat global.