Harmoni Kolej: Perjumpaan Staf Residen Kolej & Mahasiswi Kolej Tun Fatimah, Tun Teja dan Tun Puteri UiTM Cawangan Melaka

ALOR GAJAH, 8 OKTOBER 2024 – Satu perjumpaan di antara Staf Residen Kolej (SRK), Kolej Tun Fatimah, Kolej Tun Teja dan Kolej Tun Puteri bersama mahasiswi daripada ketiga-tiga kolej kediaman ini telah dijalankan baru-baru ini bertempat di Gelanggang Badminton Kolej Tun Teja, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka.

Perjumpaan pertama ini diadakan sebagai sesi perkenalan awal SRK bersama para mahasiswi yang menghuni kolej ini bagi Semester Oktober 2024 hingga Februari 2025. Dalam sesi ini, para SRK daripada ketiga-tiga kolej iaitu Ustaz Muhammad Taufik Md Sharipp, Encik Mohd Hasmuni Mahat dan Dr. Mohamad Hafifi Jamri dibantu bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan Jawatankuasa Perwakilan Blok (JPB) menyampaikan penerangan berkenaan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan atau dilarang sepanjang berada di kolej kediaman. Perkara ini penting untuk diterangkan kepada para mahasiswi supaya mereka jelas akan peraturan-peraturan yang perlu diikuti sepanjang menghuni di kolej kediaman UiTM Cawangan Melaka.

Perihal perkara yang diterangkan lebih kepada soal peraturan-peraturan misalnya larangan-larangan hal yang boleh membahayakan penghuni, menimbulkan ketidakselesaan atau menjejaskan keharmonian kepada rakan sebilik dan penghuni di kolej kediaman, sahsiah rupa diri, waktu berada di kolej, kebersihan, penggunaan alat elektrik, tanggungjawab ke atas harta benda universiti, kesihatan pelajar, kebajikan pelajar, nombor kecemasan yang perlu disimpan serta pelbagai lagi hal yang mustahak yang harus diketahui oleh mahasiswi.

Sesi perjumpaan ini dirujuk sebagai amat baik dan memberikan manfaat kepada para mahasiswi kerana sekurang-kurangnya telah mendedahkan mereka kepada perkara-perkara penting yang perlu diketahui sebagai seorang penghuni di kolej kediaman. Dalam masa yang sama, penyampaian maklumat ini juga dilihat berupaya sedikit sebanyak menanamkan dalam diri setiap mahasiswi akan tanggungjawab sebagai seorang pelajar di kolej kediaman dan di universiti secara keseluruhannya. Melalui kerjasama erat di antara pihak SRK, JPK dan JPB serta seluruh warga penghuni kolej kediaman, semestinya keharmonian di kolej kediaman akan sentiasa terpelihara.

Penulis: Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Muhammad Taufik Md Sharipp, Mohd Hasmuni Mahat