Harmoni Bantu Baca Di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah Perlis

PERLIS – Persatuan Belia Harmoni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan satu lagi Siri Program Harmoni Bantu Baca. Program yang berteraskan objektif untuk membantu murid sekolah rendah yang keciciran dalam kemahiran membaca dan menulis pada kali ini telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau Perlis pada 9 Ogos 2024 hingga  6 September 2024.

Program ini dipecahkan kepada 6 sesi dan dijalankan selama 6 minggu. Hampir 40 orang murid Kelas Pemulihan yang terdiri dari murid darjah 2 hingga darjah 6 telah terlibat dalam menjayakan program ini. Murid dibahagikan kepada 6 kumpulan mengikut tahap kebolehbacaan pada setiap sesi dengan seramai 11 orang mahasiswa telah menawarkan diri menjadi fasilitator.

Puan Wan Noraini Wan Mat selaku guru Kelas Pemulihan Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah banyak membantu dalam melaksanakan program ini dengan menyediakan modul “Shine Up : Saya Pandai Membaca” dan bahan aktiviti sepanjang program dijalankan.

Secara keseluruhan, program ini berjaya dijalankan dengan lancar dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada murid dengan jumlah kehadiran yang sangat memuaskan. Program ini juga mendapat sokongan penuh daripada pihak ibu bapa dan pihak sekolah dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang demi membantu murid-murid yang lemah dan berkeperluan.